BOOK REVIEW - RAHSIA ISLAM DI CHINA

RAHSIA ISLAM DI CHINA - Gemilang di Sebalik Tembok Besar

Penulis : Ann Wan Seng


Saya ingin berkongsi dengan semua, sebuah buku yang agak menarik hasil tulisan Ann Wan Seng. Buku yang bertajuk Rahsia Islam di China ini adalah dari genre Sejarah dan Tamadun. Buku ni saya beli pada Febuari 2009 di kedai buku MPH kat The Spring, Kuching. Buku terbitan PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. ini berharga RM26.00(Sabah/Sarawak) dan RM 23.00 (Semenanjung Malaysia).


Buku Rahsia Islam di China (Gemilang di Sebalik Tembok Besar) merupakan hasil tulisan seorang penulis terkenal Cina Muslim, Ann Wan Seng. Di dalam prakata buku ini beliau menerangkan bahawa sejarah dan maklumat mengenai umat Islam di China, seolah-olah seperti tidak pernah wujud dalam masyarakat Cina. Penulis sendiri yang dilahirkan dan membesar dalam masyarakat Cina tidak pernah mengetahui dan didedahkan megenai kehebatan umat Islam di China, hinggalah beliau memasuki alam persekolahan. Menurut penulis, maklumat dan fakta mengenai umat Islam di China mula terdedah kepada dunia sejak negara China membuka pintunya kepada luar.


Menurut sumber rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan China, jumlah penduduk Islam yang terkini di China adalah sekitar 30 juta orang. Walaubagaimanapun, menurut sumber tidak rasmi dan boleh dipercayai, jumlah terkini umat Islam di China adalah melebihi 100 juta orang. Manakala bilangan masjid adalah melebihi 42,000 buah. Penulis berkeyakinan pihak pemerintah komunis China mempunyai agenda jangka panjang bagi mengurangkan populasi di kalangan umat Islam. Mereka menutup angka sebenar bilangan umat Islam di China.



Masjid Pertama yang dibina di Negara China

Berusia Lebih 1000 Tahun


Di dalam buku ini, penulis menyorot kembali sejarah kedatangan Islam di China, zaman kegemilangan umat Islam di China, zaman penindasan terhadap umat Islam, dan maklumat terkini umat Islam di negara yang ditadbir oleh pemerintah berfahaman komunis ini. Penulis turut membincangkan mengenai pengaruh Islam terhadap kebudayaan dan peradaban di China. Penulis juga menulis satu bab khusus di dalam buku ini mengenai tokoh-tokoh Islam di China terutamanya mengenai Laksamana Cheng Ho.


Gabungan Kesenian Islam dan Cina


Penulis membongkar sejarah kedatangan Islam di China sejak lebih 1400 tahun yang lepas. Dipercayai sejak awal abad ketujuh lagi. Perkembangan Islam di China adalah melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan sutera dan juga jalan laut yang dikenali sebagai laluan lada. Oleh sebab itu, Islam tersebar secara meluas di bahagian barat dan selatan negara China.


Islam diterima baik oleh pemerintah Dinasti Tang, Dinasti Sung, Dinasti Yuan (Monggol), dan Dinasti Ming. Ketika pemerintahan Dinasti Ming dari tahun 1368M hngga 1644M, Islam melalui zaman kegemilangan di China. Di bawah pemerintahan Dinasti inilah berlaku integrasi kaum dan asimilasi dua budaya antara orang Islam dan penduduk berketurunan Han. Ini berlaku hasil perkahwinan campur. Orang Islam juga diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam negara China. Sebagai contoh, Laksamana Cheng Ho di beri kepercayaan memimpin angkatan laut yang besar dalam ekspedisi menjalinkan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa. Umat Islam juga telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan pada era pemerintahan Dinasti Yuan yang dibina oleh bangsa Mongol di bawah pimpinan Kublai Khan. Dasar pemerintahan Mongol di China sangat jauh berbeza dengan dasar yang mereka laksanakan di Asia Barat. Jika di Asia Barat pemerintah Mongol bersikap bengis dan kejam terhadap umat Islam, di China pula mereka bersikap sebaliknya. Umat Islam di China dilayan dengan baik dan mereka melantik umat Islam memegang jawatan penting dalam kerajaan. Sebagai contoh, pada tahun 1244M, Ketua Perbendaharaan Dinasti Yuan adalah seorang Muslim yang bernama Abdul Rahman. Seorang Muslim dari Bukhara yang bernama Syed Ajall pula dilantik sebagai gabenor di Yunnan. Ketika pemerintahan Dinasti ini, daripada 12 gabenor di negara China, 8 daripadanya adalah orang Islam.


Umat Islam melalui zaman kegelapan di China selepas kejatuhan Dinasti Ming. Dinasti Qing yang diperintah oleh orang Manchu menjalankan dasar-dasar yang keras dan zalim terhadap umat Islam. Mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Umat Islam dilaga-lagakan dengan penduduk berketurunan Han. Dasar yang dilaksanakan oleh Dinasti Qing ini menyebabkan berlakunya pemberontakan di kalangan umat Islam yang mengorbankan seramai 10 juta orang sejak tahun 1862M hingga tahun 1878M. Pemberontakan dan jihad umat Islam ketika itu banyak dipimpin oleh guru dan pengikut Tareqat Naqshabandi seperti Iblaxin Ma Ming Xa dan Ma Hua Lung.


Seterusnya, ketika pemerintahan Koumintang, umat Islam turut tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hak mereka seolah-olah dinafikan. Setelah kejatuhan Koumintang, negara China diperintah oleh Parti Komunis China. Pemerintahan komunis China di bawah Mao Dezong melaksanakan dasar yang keras serta menekan umat Islam. Pada tahun 1966-1968, pemerintah komunis China ini melancarkan Revolusi Kebuudayaan yang bertujuan menghapuskan umat Islam dan penduduk yang bukan berketurunan Cina. Sedikit sebanyak ia turut memberi kesan negatif terhadap umat Islam. Walaubagaimanapun, penindasan dan tekanan yang hebat ini, gagal menghapuskan Islam di bumi China.



Umat Islam di China


Buku ini sangat menarik dan membuka mata kita tentang keadaan saudara seIslam kita di bumi China. Mereka telah menerima Islam jauh lebih dahulu daripada kita. Tekanan hebat dari musuh-musuh Islam masih gagal melemahkan pegangan aqidah mereka. Dapatkan buku ni di kedai buku berdekatan anda.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails