Showing posts with label PENA SOLAH. Show all posts
Showing posts with label PENA SOLAH. Show all posts

AMANAH KEPIMPINAN

Hadis Ibnu Umar r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya :

Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.

Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ahmad


K
epimpinan adalah satu amanah yang amat berat. Ia merupakan satu tanggungjawab, dan bukanlah satu keistimewaan. Di dalam hadith di atas Nabi S.A.W menegaskan kepada seluruh umatnya, betapa setiap kita memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan tanpa mengira status. Suami pemimpin bagi ahli keluarga, isteri pula memikul amanah menjaga rumahtangga. Jika seorang hamba pun turut memikul beban amanah iaitu menjaga harta tuannya, apalagi seorang pemerintah, sudah tentu beban yang dipikul semakin besar iaitu memikul amanah tangggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.







Zaman ini, sebilangan kita seolah-olah berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan ketua atau pemimpin, tidak kiralah pemimpin di peringkat persatuan, organisasi, kampung, negeri, dan negara tanpa memikirkan kemampuan diri dan beratnya amanah yang akan dipikul.

Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad Rahimahullah, di dalam kitab an-Nasaihu ad-Diniyah wal Wasaya al-Imaniyah menegaskan bahawa memikul tanggungjawab kepimpinan padanya ada bahaya, dan merupakan di antara perkara yang amat berat. Beliau turut membahagikan tugas kepimpinan kepada beberapa tahap mengikut berat dan besarnya amanah ;

1. Pemerintah
2. Qadhi / Hakim
3. Penjaga harta anak yatim atau harta waqaf

Contoh pemimpin yang paling hebat ialah Baginda Rasulullah S.A.W. Baginda merupakan pemimpin umat yang tiada bandingannya hingga ke hari ini. Bagindalah pemimpin umat Islam dalam Aqidah, Syariah, dan Akhlak, baginda juga Ketua Negara, Ketua Dakwah, Ketua Perang, dan Ketua Keluarga. Di dalam memimpin baginda telah menunjukkan kepada kita tauladan sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin, baginda tidak dilimpahi kemewahan atau apa-apa keistimewaan duniawi yang membezakan baginda dengan para Sahabat. Baginda hidup dalam keadaan zuhud. Para Sahabat sangat menyintai baginda dan akur pada setiap perintah.

Seorang penulis barat, Michael H. Hart di dalam bukunya yang bertajuk The 100 : A Ranking of The Most Influential Persons In History, Revised and Updated For The Nineties, meletakkan Baginda Rasulullah S.A.W. sebagai tokoh pemimpin pada 'ranking' yang pertama mengatasi tokoh-tokoh dunia yang lain. Ini kerana beliau kagum pada pengarauh hebat Baginda dan ketaatan pengikut Baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap segala perintah. Bagi para intelek barat, kepimpinan ditakrifkan sebagai seni atau usaha mempengaruhi orang lain ke arah mencapai matlamat. Sebagai contoh, Harold Koontz & Heinz Weihrich mendifinisikan kepimpinan sebagai pengaruh, seni, atau proses mempengaruhi orang supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan.

Di dalam Islam kepimpinan merupakan taklif (amanah) dan bukannya suatu tasyrif (kemuliaan/keistimewaan). Begitu banyak peringatan dari Allah dan Rasulnya terhadap para pemimpin/pemerintah : di antaranya :


Firman Allah S.W.T :

1

"Sesungguhnya Allah itu memerintahkan keadilan, berbuat baik dan memberikan bantuan kepada kaum kerabat," sampai habisnya ayat.

(an-Nahl: 90)


2

"Dan berlaku-adillah engkau semua, sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berlaku adil."
(al-Hujurat: 9)


3

"Dan rendahkanlah sayapmu - yakni bersikap merendahkan dirilah - kepada orang yang mengikutimu dari golongan kaum mu'minin.”
(as-Syu'ara': 215)


4

"Sesungguhnya Allah menyuruh dengan keadilan, berbuat baik dan memberi sedekah kepada kaum kerabat serta melarang per-buatan keji, kemungkaran dan kederhakaan. Allah menasihatkan kepadamu semua, supaya engkau semua dapat memperoleh peringatan."

(an-Nahl: 90)



Hadith Nabi S.A.W. :
1

Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku demikian:

"Ya Allah, barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia membuat kesengsaraan pada mereka, maka berilah kesengsaraan kepada orang itu sendiri, sedang barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia menunjukkan kasih-sayang kepada mereka, baik ucapan ataupun perbuatannya, maka kasihilah orang itu."

(Riwayat Muslim)


2

Dari Abu Maryam al-Azdi r.a. bahawasanya ia berkata kepada Mu'awiyah r.a. :

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang diserahi oleh Allah akan sesuatu kekuasaan dari beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian orang itu menutup diri - tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakiran orang-orang yang di bawah kekuasannya, maka Allah juga akan menutup diri - yakni tidak memperhatikan - perihal hajat, kepentingan atau kefakirannya sendiri pada hari kiamat."

Sejak saat itu Mu'awiyah lalu mengangkat seseorang untuk mengurus segala macam
keperluan orang banyak."

(Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Tirmidzi)


3

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Ada tujuh macam orang yang akan diberi naungan oleh Allah dalam naungannya pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah itu sendiri, iaitu: imam - pemimpin atau kepala - yang adil, pemuda yang tumbuh - sejak kecil - dalam beribadat kepada Allah 'Azzawajalla, seseorang yang hatinya tergantung - sangat memperhatikan - kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun atas keadaan yang sedemikian, seseorang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," - ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang lelaki, seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu - tidak menampak-nampakkannya, sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."

(Muttafaq 'alaih)


4

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu di sisi Allah akan menempati beberapa mimbar dari cahaya. Mereka itu ialah orang-orang yang adil dalam meneterapkan hukum, juga terhadap keluarga dan perihal apapun yang mereka diberi kekuasaan untuk mengaturnya."

(Riwayat Muslim)

5

Dari 'Auf bin Malik, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Pemimpin-pemimpin pilihan di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang engkau semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untukmu semua. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua membenci mereka dan mereka pun membenci padamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat padamu semua." 'Auf berkata : "Kita para sahabat lalu berkata: "Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau s.a.w. bersabda: "Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua."

(Riwayat Muslim)



DHABT AL-QURAN

Istilah Dhabt Al-Quran merupakan satu istilah yang tidak asing bagi mereka yang pernah belajar Sejarah Penulisan al-Quran. Tanpa adanya disiplin ilmu ini, saya rasa sukar untuk kita membaca Al-Quran seperti hari ini.

MUSHAF RASM UTHMANI PADA HARI INI


Apakah 'Dhabt Al-Quran'


'Dhabt Al-Quran' ialah satu disiplin ilmu yang membahaskan mengenai tanda/simbol yang diciptakan oleh para Ulama' untuk membantu di dalam pembacaan Al-Quran. Contohnya tanda baris atas, bawah, dan depan, tanda sabdu, titik-titik pada huruf dan lain-lain lagi.

Pada zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a, Al-Quran ditulis tanpa apa-apa tanda/simbol seperti baris dan titik. Huruf-huruf Hijaiyah (seperti 'ba', 'ta', 'tsa', 'jim' dll) ditulis tanpa titik. Kebanyakan umat Islam ketika itu, mahir dan menguasai ilmu bahasa arab. Ini membolehkan mereka membaca tulisan Al-Quran walaupun tanpa titik, baris, dan simbol-simbol lain.


Kelebihan dan kepentingan Dhabt Al-Quran

Di antara kelebihan dan kepentingan Dhabt Al-Quran ialah :

1. Dapat membaca Al-Quran dengan tepat mengikut hukum tajwid.

2. Menghilangkan kesamaran cara bacaan pada tanda baris dan tanda hukum bacaan seperti tanda sabdu, mad, dan lain-lain.


Jenis Dhabt

Terdapat dua jenis dhabt (tanda), iaitu :

i. Naqt al-I'rab :
Tanda/simbol dalam bentuk baris atas, bawah, dan hadapan

ii. Naqt al-I'jam :
Tanda dalam bentuk titik, untuk membezakan huruf bertitik dan huruf tidak bertitik

InsyaAllah, penjelasan lanjut mengenai kedua- dua jenis tanda/simbol ini akan saya tulis pada 'posting' akan datang.


BOOK REVIEW - RAHSIA ISLAM DI CHINA

RAHSIA ISLAM DI CHINA - Gemilang di Sebalik Tembok Besar

Penulis : Ann Wan Seng


Saya ingin berkongsi dengan semua, sebuah buku yang agak menarik hasil tulisan Ann Wan Seng. Buku yang bertajuk Rahsia Islam di China ini adalah dari genre Sejarah dan Tamadun. Buku ni saya beli pada Febuari 2009 di kedai buku MPH kat The Spring, Kuching. Buku terbitan PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. ini berharga RM26.00(Sabah/Sarawak) dan RM 23.00 (Semenanjung Malaysia).


Buku Rahsia Islam di China (Gemilang di Sebalik Tembok Besar) merupakan hasil tulisan seorang penulis terkenal Cina Muslim, Ann Wan Seng. Di dalam prakata buku ini beliau menerangkan bahawa sejarah dan maklumat mengenai umat Islam di China, seolah-olah seperti tidak pernah wujud dalam masyarakat Cina. Penulis sendiri yang dilahirkan dan membesar dalam masyarakat Cina tidak pernah mengetahui dan didedahkan megenai kehebatan umat Islam di China, hinggalah beliau memasuki alam persekolahan. Menurut penulis, maklumat dan fakta mengenai umat Islam di China mula terdedah kepada dunia sejak negara China membuka pintunya kepada luar.


Menurut sumber rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan China, jumlah penduduk Islam yang terkini di China adalah sekitar 30 juta orang. Walaubagaimanapun, menurut sumber tidak rasmi dan boleh dipercayai, jumlah terkini umat Islam di China adalah melebihi 100 juta orang. Manakala bilangan masjid adalah melebihi 42,000 buah. Penulis berkeyakinan pihak pemerintah komunis China mempunyai agenda jangka panjang bagi mengurangkan populasi di kalangan umat Islam. Mereka menutup angka sebenar bilangan umat Islam di China.



Masjid Pertama yang dibina di Negara China

Berusia Lebih 1000 Tahun


Di dalam buku ini, penulis menyorot kembali sejarah kedatangan Islam di China, zaman kegemilangan umat Islam di China, zaman penindasan terhadap umat Islam, dan maklumat terkini umat Islam di negara yang ditadbir oleh pemerintah berfahaman komunis ini. Penulis turut membincangkan mengenai pengaruh Islam terhadap kebudayaan dan peradaban di China. Penulis juga menulis satu bab khusus di dalam buku ini mengenai tokoh-tokoh Islam di China terutamanya mengenai Laksamana Cheng Ho.


Gabungan Kesenian Islam dan Cina


Penulis membongkar sejarah kedatangan Islam di China sejak lebih 1400 tahun yang lepas. Dipercayai sejak awal abad ketujuh lagi. Perkembangan Islam di China adalah melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan sutera dan juga jalan laut yang dikenali sebagai laluan lada. Oleh sebab itu, Islam tersebar secara meluas di bahagian barat dan selatan negara China.


Islam diterima baik oleh pemerintah Dinasti Tang, Dinasti Sung, Dinasti Yuan (Monggol), dan Dinasti Ming. Ketika pemerintahan Dinasti Ming dari tahun 1368M hngga 1644M, Islam melalui zaman kegemilangan di China. Di bawah pemerintahan Dinasti inilah berlaku integrasi kaum dan asimilasi dua budaya antara orang Islam dan penduduk berketurunan Han. Ini berlaku hasil perkahwinan campur. Orang Islam juga diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam negara China. Sebagai contoh, Laksamana Cheng Ho di beri kepercayaan memimpin angkatan laut yang besar dalam ekspedisi menjalinkan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa. Umat Islam juga telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan pada era pemerintahan Dinasti Yuan yang dibina oleh bangsa Mongol di bawah pimpinan Kublai Khan. Dasar pemerintahan Mongol di China sangat jauh berbeza dengan dasar yang mereka laksanakan di Asia Barat. Jika di Asia Barat pemerintah Mongol bersikap bengis dan kejam terhadap umat Islam, di China pula mereka bersikap sebaliknya. Umat Islam di China dilayan dengan baik dan mereka melantik umat Islam memegang jawatan penting dalam kerajaan. Sebagai contoh, pada tahun 1244M, Ketua Perbendaharaan Dinasti Yuan adalah seorang Muslim yang bernama Abdul Rahman. Seorang Muslim dari Bukhara yang bernama Syed Ajall pula dilantik sebagai gabenor di Yunnan. Ketika pemerintahan Dinasti ini, daripada 12 gabenor di negara China, 8 daripadanya adalah orang Islam.


Umat Islam melalui zaman kegelapan di China selepas kejatuhan Dinasti Ming. Dinasti Qing yang diperintah oleh orang Manchu menjalankan dasar-dasar yang keras dan zalim terhadap umat Islam. Mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Umat Islam dilaga-lagakan dengan penduduk berketurunan Han. Dasar yang dilaksanakan oleh Dinasti Qing ini menyebabkan berlakunya pemberontakan di kalangan umat Islam yang mengorbankan seramai 10 juta orang sejak tahun 1862M hingga tahun 1878M. Pemberontakan dan jihad umat Islam ketika itu banyak dipimpin oleh guru dan pengikut Tareqat Naqshabandi seperti Iblaxin Ma Ming Xa dan Ma Hua Lung.


Seterusnya, ketika pemerintahan Koumintang, umat Islam turut tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hak mereka seolah-olah dinafikan. Setelah kejatuhan Koumintang, negara China diperintah oleh Parti Komunis China. Pemerintahan komunis China di bawah Mao Dezong melaksanakan dasar yang keras serta menekan umat Islam. Pada tahun 1966-1968, pemerintah komunis China ini melancarkan Revolusi Kebuudayaan yang bertujuan menghapuskan umat Islam dan penduduk yang bukan berketurunan Cina. Sedikit sebanyak ia turut memberi kesan negatif terhadap umat Islam. Walaubagaimanapun, penindasan dan tekanan yang hebat ini, gagal menghapuskan Islam di bumi China.



Umat Islam di China


Buku ini sangat menarik dan membuka mata kita tentang keadaan saudara seIslam kita di bumi China. Mereka telah menerima Islam jauh lebih dahulu daripada kita. Tekanan hebat dari musuh-musuh Islam masih gagal melemahkan pegangan aqidah mereka. Dapatkan buku ni di kedai buku berdekatan anda.

SOLAT SUNAT TARAWIH

Tarawih membawa maksud berehat-rehat. Waktu menunaikan solat sunat Tarawikh ialah dalam bulan Ramadhan selepas solat Isya’.

Sebaik-baiknya solat sunat Tarawih itu ditunaikan secara berjemaah.

Ada berbagai-bagai pendapat Ulama’ tentang jumlah rakaat dalam solat sunat Tarawih. Menurut Mazhab As-Syafi’i dan Hanafi, jumlahnya ialah 20 rakaat dengan sepuluh kali salam. Menurut Mazhab Maliki jumlah rakaat dalam solat sunat Tarawikh ialah 36 rakaat. (Mengikut keterangan kitab Al-Majmu’).

Adalah rugi sekiranya kita meninggalkan solat sunat tarawih, ini kerana ia hanya boleh dilaksanakan pada bulan Ramadhan, tidak pada bulan-bulan lain. Marilah bersama-sama kita mengejar rahmat Allah s.w.t pada Ramadhan ini.

ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan kerana tamat bulan Ramadhan dan dikeluarkan mengikut peraturannya. Benda yang wajib dijadikan zakat fitrah ialah makanan utama sesebuah negeri, seperti beras di Malaysia.

Kadar Zakat Fitrah ialah satu gantang Baghdad, bersamaan dengan 2.7 kg. (Rujukan : Tabung Baitulmal Sarawak).
Zakat Fitrah diwajibkan ke atas setiap Muslim lelaki dan perempuan tanpa mengira besar dan kecil.

Menurut pandangan Ulama’ Mazhab Syafi’i, masa bagi mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu :

• Masa Harus : Pada awal bulan Ramadhan.

• Masa Wajib : Telah masuk matahari pada akhir bulan Ramadhan.
• Masa Afdhal : Sebelum keluar Solat Hari Raya.
• Masa Makruh : Dilambatkan hingga selepas solat Hari Raya dengan tiada uzur.
• Masa Haram : Dilambatkan hingga selepas hari raya dengan tiada uzur.

Golongan yang layak menerima zakat ada lapan, iaitu : Fakir, Miskin, Amil, Muallaf, Hamba, Orang yang berhutang, Orang yang berada di Jalan Allah, dan Ibnu sabil.

FADHILAT RAMADHAN

· ‘Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ( Surah Al-Baqarah, Ayat 185 )

· ‘Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda : Sesiapa berpuasa di Bulan Ramadhan dengan keimanan dan dengan perhitungan(ikhlas semata-mata mengharap redha Allah) diampunkan segala dosanya yang terdahulu.’ ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

· ‘Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda : Bila telah datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka dan terbelenggulah syaitan-syaitan.’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

· ‘Daripada Sahal bin Saad r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda : Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan yang akan memasukinya pada hari Qiamat orang –orang yang berpuasa dan tiada seorang pun yang memasukinya selain mereka.’ ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

· ‘Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya antara 10 hingga 700 kali, Allah Azza Wa Jalla telah berfirman : Kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makannya semata-mata kerana Aku.’ ( Hadis Riwayat Muslim )

Related Posts with Thumbnails