Showing posts with label AQIDAH. Show all posts
Showing posts with label AQIDAH. Show all posts

SUJUD KEPADA SELAIN ALLAH


Baru-baru ni saya menonton satu rakaman video di youtube, dalam rakaman tersebut seorang Guru Tarekat diberi penghormatan dengan cara sujud seperti dalam solat. Timbul pertanyaan di dalam hati saya, adakah perbuatan tersebut tidak merosakkan iman para pelakunya. Amat menghairankan, seolah-olah guru tarekat tersebut bersetuju dan reda dengan perbuatan tersebut.

Untuk menonton rakaman tersebut klik kat link ni    SUJUD PADA GURU.....

Pada minit 1.00 hingga 1.07 rakaman tersebut, kelihatan murid/pengikutnya melakukan penghormatan dengan cara bersujud kepada guru yang berada di hadapan mereka.

Saya berpendapat perbuatan tersebut adalah haram dan boleh merosakkan Aqidah pelakunya.

Di dalam kitab Mustika Hadith terbitan JAKIM, pada Tajuk WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR, Fasal Ketiga : Perkara-perkara Yang Menyebabkan Rosaknya Iman Dan Islam Atau Yang Menyebabkan Orang Yang Melakukannya Menjadi Murtad dinyatakan seperti berikut : 

Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian. ..............
..................................................
.................................................
.................................................

Bahagian yang ketiga:

 Perbuatan, iaitu:

(1) Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walau pun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai had sekurang-kurangnya ruku' sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah;                                                   kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu murtad, tetapi hukumnya tetap haram.  
Sila rujuk http://www.islam.gov.my/dircportal/hadith.htm

Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua agar berada pada jalan Aqidah yang Sahih. Amin Ya Rab................

RIJALUL GHAIB, KHADAM AYAT, ..............

Di dalam sesetengah ilmu persilatan dan perubatan melayu, kadang-kadang kita akan terjumpa beberapa istilah seperti Rijalul Ghaib, Khadam Ayat, dan macam-macam istilah lagi.

Apakah sebenarnya Rijalul Ghaib dan Khadam Ayat ini...? Adakah ia melibatkan persoalan Aqidah...?

Saya ingin berkongsi artikel berkenaan perkara ini yang saya ambil dari laman sahabat blogger saya, saudara Alexanderwathern di http://ikhtiarmuslim.blogspot.com. Mari kita renungkan bersama......

Rijalul Ghaib Menurut 'Warisan Perubatan Melayu'

Posted by Alexanderwathern | 10:59 AM |

Beberapa tahun lalu saya ada membaca sebuah buku bertajuk ‘Warisan Perubatan Melayu’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Baru-baru ini saya terjumpa balik buku ini lalu membacanya semula.
Buku ini sebenarnya diterjemahkan dari manuskrip asalnya yang bertulisan jawi. Penulis manuskrip itu bernama Muhammad Salleh ibni Ahmad Penambang. Tulisan jawinya sangat kemas dan cantik, menunjukkan penulisnya memang seorang pakar tulisan jawi. Ia disiapkan pada tahun 1288 Hijrah.
Menurut Muhammad Salleh, dalam usaha untuk menjadi seorang perawat atau tabib, kita hendaklah meminta tolong pada ‘RIJALULGHAIB’ empat bersahabat. Pada akhir tulisan ini nanti kita akan melihat siapakah ‘rijalulghiab’ yang dimaksudkan oleh buku Warisan Perubatan Melayu ini.
Untuk mendapatkan rijalulghaib ini kita mulakan dengan solat hajat. Pada rakaat pertama dibacakan ayat Kursi manakala pada rakaat kedua dibacakan surah al-Ikhlas tiga kali, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Kemudian kita hendaklah melihat jadual ‘langkah rijalulghaib’. Dipercayai rijalulghaib berada di tempat dan arah tertentu mengikut kalendar bulan sebagaimana kalendar Islam. Jadualnya tidaklah saya salin. Selepas mengetahui kedudukan rijalulghaib, satu bacaan mentera hendaklah diamalkan.
Menteranya berbunyi:
“XXXXXXXXX perbakeulu. XXXXXXXX sangkakeulu. Ada apa-apa si pertapa. Aku XXXX Betara Guru. Kupinta padamu, aku ambil akan saudaraku, aku ambil akan sahabatku. Barang kusuruh segera jadi, barang kucita segera datang.”
Sengaja saya sembunyikan beberapa perkataan kerana khuatir ada pembaca yang nakal yang boleh jadi akan menyalahgunakannya. : )
Mentera di atas dibaca 1000 kali bersesuaian dengan 1000 butir batu sebesar kelingking yang dikumpulkan sebelum itu. Dibaca satu sekali mentera untuk sebiji batu, tiga kali sehari selama tiga hari. Maksudnya 3000 mentera sehari, 9000 mentera dalam tiga hari.
Teringat saya pada mereka yang terperangkap dalam kegiatan ‘tarik duit’. Solat berjemaah ke surau pun tidak, berzikir banyak pun tidak. Tiba-tiba dengan senang hati pergi duduk berzikir berseorangan di tempat-tempat sunyi atas permintaan ‘naqib usrah’ mereka. Di tepi lombong, kaki bukit, pinggir hutan dan lain-lain jadi lokasi berzikir KERANA DUIT, bukan kerana Allah. Apabila ditegur, mereka menjawab, “Alaah, ustaz sekian-sekian ulama sekian-sekian pun buat jaga. Takkan salah!” Lantaklah! Tapi sampai hari ini sudah berbelas berpuluh ribu habis, yang dapatnya cuma beberapa puluh ringgit. Itu pun masih ada hati hendak buat lagi. Malangnya bangsaku.
Sambung semula. Amalan ‘3 hari’ itu hendaklah pula diulangi dengan satu lagi zikir yang berbunyi:
“Sidang FaXXX, Sidang PeXXXXX, Sidang ArXXXXX, Sidang UrXXX. Adam bapamu, Hawa ibumu.”
Jadilah kesemuanya enam hari. Dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘rijalulghaib’ silat dipanggil sebagai Mambang Kuning, Mambang Biru dan lain-lain.
Upacara seterusnya selepas tamat semua yang di atas tadi ialah ialah upacara menyeru. Pasang sebatang lilin, tabur dengan bertih lalu diseru nama keempat-empat ‘mambang’. Sekalipun mereka bersetuju untuk datang berdamping tetapi kita tidak dapat melihat mereka. Kehadiran mereka boleh diketahui dengan melihat reaksi api lilin. Jika apinya hitam, yang datang ialah Sidang FaXXX, putih untuk Sidang PeXXXXX dan Hijau untuk Sidang UrXXX. Petunjuk kehadiran Sidang ArXXXXX tidak pula disertakan.
Setelah mendapat petunjuk itu, batu-batu yang dibuat amalan itu hendaklah dibuang ke laut.
Perkara yang cuba saya bawa di sini ialah identiti ‘rijalulghaib’ yang dimaksudkan oleh ‘Warisan Perubatan Melayu’. Berdasarkan kalimah ‘Adam bapamu, Hawa ibumu’, saya menyangkakan mereka ialah manusia. Mungkin wali Allah, roh-roh suci ataupun lain-lain. Namun dengan jelas disebut oleh pengarang asal kemudiannya:
“Inilah nama-nama JIN (4 Sidang tadi) yang dicita (yang kita ingini) dan yang diamalkan akan jadi sahabat (pendamping kita) itu.”
Kesimpulannya, MENURUT TUAN KITAB ‘Warisan Perubatan Melayu’, ‘rijalulghaib’ yang dicarinya tidak lain ialah dari bangsa jin.
Wallahualam.

Abu Zulfiqar ' Alexanderwathern' 



Yang ni pulak ulasan oleh Dr Amran Kasimin dalam Utusan Malaysia :

Tidak ada bukti jin diutuskan untuk bantu manusia

SOALAN: Bapa saudara saya seorang guru agama yang juga mengubat orang secara tradisional dan mengaku bersahabat dengan jin Islam. Beliau menuntut ilmu ini dari seorang guru di utara semenanjung dengan amalan; berpuasa mutih, pati geni dan berkhalwat, lalu akhirnya dia bersahabat dengan jin tadi.
Beliau selalu menekankan apa yang dilakukan adalah untuk membantu orang lain. Di sini saya menjadi keliru, tidak mungkin apa yang dilakukan olehnya salah, kerana beliau seorang guru agama dan tahu hukum. Apa salahnya bersahabat dengan jin Islam, sama kita bersahabat dengan manusia, malah dalam keadaan tertentu saya perhatikan, manusia berkelakuan lebih jahat daripada jin-jin, merogol, membunuh dan membakar mangsa. Bapa saya tidak meminta apa-apa bayaran daripada pertolongan yang dilakukannya.
- MOHD. KHALIL SAHUDIN, Kuala Lumpur.


JAWAPAN: Memang benar manusia ada kalanya lebih jahat daripada jin-jin seperti yang saudara katakan, dan itulah di antara peristiwa yang berlaku di kalangan manusia. Mereka inilah yang dikatakan sebagai manusia yang berkelakuan seperti jin ataupun syaitan, malah mereka ini lebih bahaya daripada jin-jin, terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai kuasa, kekuatan, kekayaan dan sebagainya. Kejahatan jin-jin boleh diatasi apabila seseorang itu kuat imannya, mempunyai roh yang kuat dan dia memohon perlindungan daripada Allah.
Perlu difahami, bahawa orang yang mempunyai latar belakang agama tidak semestinya tahu hal yang berkaitan dengan jin-jin, makhluk halus dan sebagainya. Mempelajari ilmu fikah, ilmu tauhid, tafsir, tasauf, nahu, sifir dan sebagainya tidak ada kaitan dengan hakikat kehidupan makhluk-makhluk halus. Dalam Islam, mempelajari ilmu sihir itu adalah ditegah, sihir itu boleh menyebabkan syirik, iaitu menyekutukan Allah, tetapi apa yang dikatakan sebagai sihir itu tidak diajar di sekolah-sekolah, tidak menjadi sebahagian daripada kurikulum pembelajaran sama ada di sekolah menengah, universiti, di Malaysia, atau di mana-mana universiti. Dengan itu, ungkapan untuk menyatakan bahawa seorang guru agama yang tahu hukum hakam, dan mengajar agama itu memahami hal-hal yang berkaitan dengan ilmu ghaib ataupun ilmu kebatinan adalah satu anggapan yang meleset.
Penerangan tentang ilmu kebatinan atau hal-hal yang berkaitan dengan alam ghaib terdapat dalam buku-buku sampingan, bercampur aduk dengan penerangan yang karut-marut. Mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan sebahagian daripadanya adalah orang yang expert, kerana mereka adalah orang yang mengamalkannya secara praktikal, namun demikian, oleh kerana ilmu tersebut sesuatu yang tersembunyi, rahsia, ia tidak mudah dicungkil atau diberitahu kepada orang ramai, biarpun untuk mengungkapkan atau mengkajinya bukan sesuatu yang mustahil.
Berdasarkan hujah saudara, memang tidak salah bersahabat dengan jin Islam. Dalam pemikiran saudara mungkin tercanang, bahawa bersahabat dengan jin itu lebih baik daripada bersahabat dengan manusia yang menghisap dadah, menjadi bapa ayam, penjual video lucah, perogol, pembunuh yang diakhiri dengan amalan membunuh dan sebagainya. Kenapa saudara bandingkan jin tadi dengan manusia yang jahat, yang tidak beriman kepada Allah, dan kenapa saudara tidak membandingkan jin tadi yang dipercayai sebagai Islam itu dengan manusia yang baik-baik.
Di Malaysia ini terdapat lebih daripada 20 juta manusia, dan apabila terdapat sebanyak 10 atau 15 kes yang melibatkan kejahatan manusia, kenapa saudara borong seolah-olah manusia ini semuanya sudah menjadi jahat, lalu saudara merajuk tidak mahu bersahabat dengan manusia, lalu akhirnya berkiblat, mahu bersahabat dengan jin-jin.
Saudara perlu kembali kepada sejarah di mana Allah pernah murka, melaknat, dan menghalau iblis daripada syurga dalam keadaan hina hingga hari kiamat, dan akan dimasukkan ke dalam neraka kerana keengganannya sujud kepada Adam, sebagai menghormati kejadian Allah.
Apabila ini terjadi, iblis bersumpah yang dia akan menipu dan mengganggu manusia, membolehkan mereka dibawa ke dalam neraka bersama. Allah menjawab, menyatakan bahawa iblis dan syaitan juga konco-konconya tidak berupaya atau tidak mempunyai kekuatan terhadap manusia kecuali di kalangan mereka yang mengikuti jejak langkah iblis dan syaitan, yang terdiri daripada mereka yang sesat.
Dalam al-Quran dijelaskan bagaimana iblis menipu Adam dan Hawa sehingga mereka terkeluar dari syurga, menipu Qabil dan Habil menyebabkan mereka bunuh-membunuh, menyakiti Nabi Allah Ayyub, menyakiti tubuhnya, juga memusnahkan harta benda, begitu juga ketika berlaku ribut taufan Nabi Noh, peristiwa sihir di zaman Nabi Allah Musa, sehingga ke zaman Nabi s.a.w. iaitu sebelum berlaku peristiwa Hijrah, peristiwa sihir yang berlaku ke atas Nabi s.a.w. dan sebagainya.

Tunduk

Iblis menipu manusia menyebabkan manusia tunduk kepada nafsu, merogol, membunuh, rasuah, menipu, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan sebagainya, yang kesemuanya melibatkan dosa-dosa; dosa kecil atau dosa besar, untuk jangka masa pendek atau panjang.
Satu trend yang paling memberi kesan, yang tidak mudah disedari oleh manusia ialah menjadikan Islam, atau unsur-unsur Islam itu sebagai jalan untuk menipu manusia, menyebabkan manusia menganggap jin-jin yang didampingi, yang dipohon pertolongannya itu sebagai jin-jin Islam, yang dituntut, dipelajari dengan cara Islam, yang melibatkan amalan yang mempunyai ciri-ciri Islam, lalu ia didatangi oleh makhluk yang dianggap sebagai jin Islam, seperti yang terjadi ke atas bapa saudara yang saudara sebutkan.
Di antara kaedah untuk bersahabat dengan jin, yang dianggap sebagai jin Islam ialah dengan berkhalwat, di satu tempat yang dianggap bersih, dalam keadaan berwuduk, bersih tubuh dan pakaian. Puasa beberapa hari tertentu, yang dimulai pada hari-hari tertentu menurut ajaran guru.
Kemudian membaca surah Al-Ikhlas seribu kali, surah Yasin, surah Ad-Dukkhan, surah As-Sajdah dan Tabaraka, sekali setiap surah. Pada hari terakhir, pada kebiasaan setelah seminggu beramal demikian, ia hendaklah menjauhkan diri daripada manusia, beramal yang dimulakan pada tengah malam, iaitu selepas pukul 12 malam, ataupun selepas pukul 3 pagi. Pada malam terakhirnya ini ia tidak boleh tidur. Inilah malam yang penting, menentukan sama ada ilmu yang dituntut itu berjaya atau gagal.
Ia akan didatangi oleh makhluk, iaitu dalam keadaan sedar, berjubah hijau atau putih, menghulur tangan, bertanya apa yang diperlukan oleh manusia. Ia hendaklah memberitahu apa yang dihajati olehnya, iaitu untuk bersahabat dengan jin berkenaan.
Dalam masyarakat Melayu, terlalu banyak kaedah yang berbeza yang dilakukan dalam usaha bersahabat dengan jin-jin, yang ada kalanya diisytiharkan sebagai ``jin Islam'', ``rijalul ghaib'', ``roh-roh'', ``khadam ayat'' dan sebagainya. Makhluk yang diseru datang, berdampingan dengan manusia inilah yang dikatakan boleh membantu manusia untuk melakukan rawatan, menjaga rumah ketika tuannya berpergian, menjaga harta benda, melindungi diri dan sebagainya.
Perlu dijelaskan bahawa manusia tidak boleh memohon perlindungan atau pertolongan selain daripada Allah, kerana ini boleh menyebabkan syirik. Satu dosa yang tidak diampuni oleh Allah.
Adalah di luar kemampuan manusia untuk menentukan jin yang datang itu Islam atau kafir. Memang tuntutan yang dilakukan untuk bersahabat dengan makhluk ini mengandungi unsur-unsur Islam, termasuk ayat-ayat yang dibaca, berwuduk, puasa dan sebagainya, tetapi, makhluk yang datang itu bukan semestinya Islam. Sesungguhnya tipu daya iblis dan syaitan itu terlalu tinggi, di luar kemampuan manusia mengatasinya kecuali dengan ihsan Allah jua.
Dijelaskan (An-Nisa':38), bahawa barang siapa menjadikan syaitan itu teman, maka makhluk ini adalah seburuk-buruk teman. Allah melarang menyeru atau menyembah makhluk yang tidak memberi manfaat atau mudarat. Sekiranya manusia berbuat demikian, mereka termasuk dalam golongan orang yang zalim (Yunus: 106). Memang ada manusia yang memohon perlindungan jin-jin. Jin-jin itu akan menambah lagi mereka dosa dan kesalahan (Al-Jinn: 6).
Berbanding dengan jin-jin, manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Kerana kemuliaannya, Allah mengutus nabi dan rasul dari golongan manusia, bukan dari golongan jin. Jin berguru kepada Nabi s.a.w. Guru lebih berilmu, mempunyai keistimewaan berbanding dengan murid. Kerana itu manusia tidak perlu bersahabat atau berguru dengan jin untuk memperoleh pertolongan.
Adalah di luar kemampuan manusia untuk memastikan agama yang dianuti oleh jin-jin. Terlalu banyak helah dan tipu daya boleh dilakukan terutamanya oleh jin-jin dalam usaha memesongkan iktikad manusia, termasuklah menggunakan ayat-ayat al-Quran, dalam tuntutan seperti yang dijelaskan.
Dalam Islam tidak ada puasa mutih, Islam mempunyai puasa Ramadan, puasa Nabi Daud, puasa Khamis dan puasa nazar, tetapi dalam amalan kebatinan Melayu, memang ada puasa dalam beberapa hari ganjil, yang hanya boleh memakan nasi tanpa lauk, atau lauk yang terdiri daripada benda tidak bernyawa. Dalam Islam setiap yang halal boleh dimakan oleh mereka yang berbuka puasa, begitu juga dengan pati geni.
Dalam Islam tidak ada ibadah puasa dalam hari tertentu, selama seminggu, lima atau tiga hari, yang diakhiri pada malam terakhirnya dengan berjaga sepanjang malam, tidak boleh tidur sehingga fajar menyingsing.
Rasulullah s.a.w. pernah berkhalwat di Gua Hira', tetapi baginda berbuat demikian bukan mengikut ajaran guru, di mana baginda akan didatangi oleh makhluk jin, atau mana-mana makhluk tertentu, secara sengaja, seperti yang banyak terjadi di kalangan mereka yang mempelajari ilmu kebatinan, yang dipercayai sebagai roh-roh, rijalul ghaib, khadam ayat, wali Allah dan sebagainya, yang sebenarnya makhluk ini adalah daripada jin-jin, yang akhirnya dikatakan boleh membantu untuk melakukan rawatan, dalam keadaan menurun, untuk menjaga harta benda, rumah, kebun, anak isteri dan sebagainya ketika orang yang mempunyai ilmu ini berpemergian.
Tidak terdapat bukti daripada mana-mana sumber, sama ada daripada al-Quran, hadis, amalan sunah, para sahabat dan sebagainya memperlihatkan bahawa Allah mengutus jin-jin itu untuk membantu manusia, tidak kira sama ada jin Islam ataupun bukan Islam. Walaupun demikian, terdapat banyak amaran Allah agar manusia menjauhkan diri daripada iblis dan syaitan, jangan bersahabat dengan syaitan, biar dalam keadaan apa sekalipun, kerana syaitan itu adalah musuh yang nyata.
Seperti yang dijelaskan bahawa iblis pernah memohon agar dipanjangkan nyawanya sehinggalah hari kiamat, untuk menyesat dan menipu manusia, dan permintaan ini diperkenankan oleh Allah. Di antara jalan, atau tipu helah iblis dan syaitan terhadap manusia, yang tidak mudah disedari oleh manusia ialah dengan menonjolkan unsur Islam menyebabkan seseorang itu menganggap makhluk yang mendampinginya itu adalah terdiri daripada jin Islam, yang datang membantu manusia, pada hal hakikat sebenarnya hanya diketahui Allah.
Sesungguhnya syaitan itu pernah bersumpah di hadapan Allah, yang menyebut, ``Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku tidak akan berpisah daripada anak Adam, sehinggalah roh anak Adam itu berpisah daripada jasadnya''. Bermaksud bahawa makhluk ini sentiasa berusaha menyesatkan manusia, daripada awal kelahirannya, sehingga mati. Ketika itu makhluk ini akan pergi, meninggalkan manusia, sama ada mati dalam keadaan beriman ataupun dalam keadaan kufur.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia
46M, Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-92213752
E-mel: mingguan@utusan.com.my

GERAK SENI SILAT ABJAD (ASLI)

Malam tadi saya berkesempatan menghadiri Perhimpunan ABJAD Sarawak yang diadakan di Daerah Saratok. Perhimpunan ini turut dihadiri oleh Pengerusi Silat ABJAD dari Kedah, Melaka, dan beberapa kawasan lain. Melalui maklumat yang saya dapati dari rakan-rakan, Cawangan Pertubuhan Gerak Seni Silat ABJAD di Daerah Saratok ini ialah pusat bagi Negeri Sarawak. Tadi saya cuba cari maklumat mengenai Pertubuhan ini di Wikipedia, berikut antara maklumat yang saya dapat :

Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (Asli) Jabat Kilat telah diasaskan dan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada bulan Oktober 1984 dengan diberi No. Pendaftaran P.K. 2090 (Perak Darul Ridzuan). Menyedari hakikat bahawa ABJAD perlu dikembangkan ke seluruh negara (malah ke peringkat global) maka Yang Di Pertua Pertubuhan dan Ahli-Ahli jawatankuasanya dengan persetujuan semua ahli membuat resolusi menukar nama ABJAD Perak kepada ABJAD Malaysia dan proses ini telah berjalan sehinggalah mendapat kelulusan rasmi dari Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam bulan September 1988.

Perkataan GERAK SENI SILAT ABJAD (ASLI) JABAT KILAT diertikan sebagai berikut:

GERAK: ertinya amalan atau kelakuan atau perbuatan yang baik dan positif

SENI : ertinya halus, indah, segak, cantik, baik

SILAT : ertinya menolak atau menentang segala kejahatan, menerima atau mengamalkan atau memelihara segala kebaikan/kebajikan serentak melalui ilmu, hati, lidah dan anggota (pada zahir dan batin)

ABJAD : ertinya ASLI yakni yang benar dari Allah di atas Kebesaran Allah (Jamal/Baha) dan KeagunganNya (Jalal) untuk menegak agama (Diin) Allah di diri zahir dan batin

JABAT : ertinya sentuhan pada rohani dan jasmani

KILAT : ertinya cepat, pantas

PERSEMBAHAN DARI AHLI ABJAD SARATOK


Berikut pula maklumat yang saya dapat dari :

http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1524


Kategori : Akidah
Tajuk :
RISALAH GERAK KILAT (SILAT ABJAD)
Isu :
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah di atas sebuah risalah yang bernama “Risalah Gerak Kilat Menyambar Dan Mutiara Di Tengah Mata” karangan Syeikh Mahmud Nasri Usmani (Hj. Mahmud Nasri b. Hj. Osman) Baling, Kedah.
Keputusan :

Berdasarkan kepada butir-butir di atas ini yang mana ianya adalah mengelirukan Akidah Islam dan bercanggah dengan ajaran-ajaran di dalam syariat Islam yang suci dan untuk memelihara kaum muslimin di negeri ini dari dirosakkan akidah mereka dan amalan-amalan mereka oleh ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang ada di dalam risalah Gerak Kilat. Maka Jawatankuasa bersidang pada hari ini mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah supaya diharamkan risalah itu dari disebar dan ditegah dari diajar dan belajar dan beramal dengan ajaran-ajaran di dalamnya.


Keterangan :

Mesyuarat Fatwa yang telah diadakan pada hari Isnin 23/8/1976, hari Isnin 25/10/1976 dan 10/11/1976 telah membuat keputusan :-

Setelah dikaji isi kandungan Risalah Gerak Kilat Menyambar dan Mutiara Di Tengah Mata, karangan Hj. Mahmud Nasri b. Hj. Osman (Syeikh Mahmud Nasri Usmani) dengan cermat dan telitinya khasnya terhadap ajaran-ajaran amalan dan butir-butir ajaran itu baik pun yang menggunakan bahasa sendiri “Bahasa Malaysia” atau “Bahasa Arab” dan juga ayat-ayat Al-Quran, pihak Jawatankuasa mendapati banyak perkara-perkara yang tersebut di dalamnya yang bercanggah dengan ajaran Islam :-


1. Meragukan tentang ujudnya Nabi Adam dan isterinya Hawa.

2. Menganggap Adam dan Hawa ada di dalam batang tubuh seseorang lelaki / perempuan, suatu kepercayaan “Tanasoh Al-Arwah” yang dilarang oleh syarak.

3. Merendahkan martabat Rasulullah s.a.w.

4. Merendahkan martabat para Malaikat besar.

5. Meletakkan Allah sama taraf dengan orang wali.

6. Mencampur acara-acara beribadat di dalam istiadat permainan.

7. Menghidupkan khayalan khurafat dan waham.

8. Mengadakan suatu kepercayaan baru iaitu boleh menghadirkan rupa Rasulullah, menghadirkan Jibrail, Israfil dan lain-lain malaikat besar dikiri kanan atas bawah.

9. Meletakkan kuasa Wali sama dengan kuasa Allah yang memberi bekas, perkara yang boleh membawa kepada syirik.

10. Berpegang dengan guru sama berpegang dengan Allah dengan tiada syak, dzon dan waham, persamaan yang membawa kepada syirik.

11. Menyekutukan kuasa Allah dengan kuasa Jibril dan Nabi Muhammad s.a.w.

12. Khurafat menyediakan semangkuk garam di dalam bilik khalwat, berjumpa dengan Syeikh Abdul Kadir Jailani waktu lena atau waktu jaga.

13. Perkataan yang samar-samar ertinya yang menimbulkan keraguan-keraguan seperti “Ah, Aku bukan aku aku …………………………”

14. Menyamakan gerak yang luar biasa dengan gerak Mukjizat / Karamah.

15. Membandingkan kuasa Allah seperti anjing “Khatmir” Ashabul Kahfi dan kawalan Allah terhadap hambaNya seperti kawalan anjing itu.
16. Menafi wujud Allah dengan tiada disedari di dalam zikir يا من لا هو الا هو
17. Membuat peraturan tidur lain dari peraturan yang mashur sabit dari Nabi s.a.w.

18. Mengadakan perkataan zikir lain daripada lafaz-lafaz zikir yang sedia maklum di dalam syariat iaitu roh روح أطلق حق أطلق

19. Menyambung ayat Quran dengan ayat yang bukan Quran, mengubah-ngubah, mengurang dan meminda ayat-ayat Quran dan mengubah baris-baris ayat Quran.

Di bawah ini diperturunkan butir-butir di dalam risalah itu yang mengelirukan dan bercanggah dengan syariat Islam.

1. Muka surat 2

1.1 Di bawah tajuk nasihat perkataan “tiap-tiap suatu itu terhenti ia di atas gerak, maka kebaikan itu di atas gerak baik dan kejahatan di atas gerak jahat”. Menurut penyusun risalah di dalam keterangannya, gerak ialah perbuatan samada zahir atau batin.

Pendapat Jawatankuasa :
Manusia tiada sunyi dari gerak dan diam bukan gerak sahaja, gerak / diam adalah perbuatan asas bahkan mengesahkan perbuatan atau menyempurnakan ialah niat. Firman Allah :

1.2 Firman Allah : ولله ولى المؤمنين yang disambungkan dengan perkataan
وعلى كل حال ظافر

Pendapat Jawatankuasa :
Boleh memberi faham kepada pembaca yang tiada dapat membezakan diantara ayat-ayat Quran dengan yang lainnya bahawa perkataan وعلى كل حال itu juga ayat Quran padahal ia bukan ayat Quran.

2. Muka surat 4

2.1 Tajuk-tajuk “Pertemuan kanan kiri dinamakan pertemuan Adam dan Hawa”. Menurut keterangan penyusun “Maksud Adam dan Hawa ialah manusia jadi tiap seseorang lelaki atau perempuan ia dikatakan Adam dan Hawa”.

Pendapat Jawatankuasa :
Bila disebut nama Adam difahamkan ialah Nabi Allah Adam a.s dan Hawa ialah isterinya dan sekelian adalah anak-anak cucu keturunannya, kalau menurut maksud penyusun maka tiap-tiap seseorang lelaki / perempuan dialah Adam dan dialah Hawa dan ini boleh menimbulkan kesamaran dan salah faham tentang aktikad yang wajib dipercayai dan diketahui dengan tafsil rasul-rasul yang dua puluh lima yang diantaranya Saidina Adam dan menimbulkan fahaman bahawa Adam dan Hawa berada di dalam tubuh tiap-tiap seorang manusia lelaki / perempuan dan ini membawa kepada kepercayaan (“Tanasukh Al-Arwah”) yang dilarang di dalam syarak Kenali.

2.2 Silat ABJAD

Menurut penyusun Abjad ertinya gerak, silat Abjad ini namanya yang diberi oleh Tok Guru Kenali, tiap-tiap satu huruf bagi abjad ada isyaratnya, Alif Allah, Ba Bahaullah, Jim Jalalullah dan Dal Dinnullah.

Pendapat Jawatankuasa :
Isyarat-isyarat itu suatu perkara yang diada-adakan yang mencemar nama Allah yang suci dan kebesaran Allah yang agong.

Gayong

Menurut penyusun anggota empat kerat (tangan kaki) ibu gayung ialah ibu jari, bila ditanya lagi ibu gayung itu dijawabnya pula ibu gayung ialah tanah air api dan angin, dan menurutnya lagi abjad dan gayung samada dalam atau gayung luar ada salasilahnya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang mana menurut pendapat jawatankuasa sebagai suatu pendusta terhadap Rasulullah yang merendahkan taraf dan darjat kebesarannya.

3. Muka surat 8

3.1 Bangsa lautan bangsa daratan
Menurut penyusun kata tok gurunya baharu ini dua bahagi cair dan beku, lautan itu tiap-tiap baharu yang cair dan daratan itu tiap baharu yang beku.

3.2 Pesanan wali dan keramat kalau dia tidak beralih dia kena hancur …………” Menurut penyusun wali itu Allah atau orang wali jadi pesanan wali itu ialah pesanan Allah atau Orang Wali.

Pendapat Jawatankuasa :
Fahaman yang seumpama itu membawa kepada iktikad yang salah yang dikatakan



4. Istiadat Permainan.

4.1 Cara-cara hendak mengambil istiadat permaian.
Berhadap kiblat mengucap dua kalimah syahadat, 3 kali pohonkan menerima iman. Penyusun tidak dapat memberi penjelasan mengenai hubungan berhadap kiblat, mengucap dua kalimah syahadah dan yang berikutnya dengan istiadat permainan ini.

Jawatankuasa berpendapat :
Berhadap kiblat satu acara di dalam ibadat mengucap dua kalimah syahadat adalah ibadat. Pohon Iman Islam dan ihsan adalah doa yang juga ibadat yang mana istiadat permainan itu dicampur adukkan dengan acara-acara ibadat yang dianggap sebagai suatu penyelewengan yang sengaja diada-adakan.

4.2 Di dalam istiadat itu juga ada menghadirkan rupa guru pada hadapan atau kanan Nabi Muhammad s.a.w. pada kanan dan hadapan dan menghadirkan Jibril di hadapan Israfil di bawah Izrail dikiri dan Adam bersama Hawa.

Pendapat Jawatankuasa :
Semuanya itu adalah khurafat khayal dan waham yang menyentuh kehormatan Rasulullah s.a.w. dan para malaikat yang besar dan mengada-adakan yang tiada pada syarak.

5. Muka surat 10

Cara-cara pemasuk gerak silat Abjad.
- Bismillahirrahmanirrahim - 7 kali
- Selawat atas nabi - 7 kali
- Fatihah - 1 kali
- Qulhuwallah - 3 kali
- Bismillahirrahmanirrahim - 3 kali

Penyusun tidak dapat memberi apa-apa alasan tentang hubungan gerak Silat Abjad dengan membaca perkara-perkara yang tersebut.

Pendapat Jawatankuasa :

Bahawa di atas apa-apa alasan sekalipun tiadalah munasabah bahkan tiada harus pada syarak menggunakan ayat-ayat Quran dan Selawat ke atas nabi untuk permainan-permainan seperti seni silat abjad dan lain-lain kerana yang demikian itu bererti menggunakan ayat-ayat suci bukan pada tempatnya dan tiada menurut tujuan yang diturunkan ayat itu dan lebih merupakan perbuatan memperalatkan ayat-ayat suci bagi satu-satu tujuan duniawi semata-mata atau memperolok-lokkan kesucian dan kebesarannya.


6. Muka surat 12 – 13

6.1 Baca ayat Kursi 3 kali menjadi قوة (Kota) diberi ………………… قوة (Kota) di dalam zat Muhammadiah. Penyusun tidak dapat memberi penjelasan tentang Kota di dalam zat Muhammadiah.

6.2 Pohon berpegang teguh dengan Allah dan dengan guru dengan tidak syak, dzon, waham lagi.

Pendapat Jawatankuasa :
Perkataan itu boleh difahamkan Allah dan guru sama martabatnya untuk menjadi pegangan seseorang …………… suatu kepercayaan yang membawa kepada syirik.

7. Muka surat 20

Di bawah tajuk amalan bagi gerak seni silat abjad bagi peringkat kedua.

7.1 Perkataan “Pohonkan berpegang aku dengan guru wali”.

Pendapat Jawatankuasa :
Berlawanan dengan akidah Islam yang menghendaki seseorang hamba itu berpegang atau bergantung hanya kepada Allah.

7.2 Perkataan “Pohonkan berhubung penjaga lautan dan daratan”.

Pendapat Jawatankuasa :
Berhubung bersahabat dengan penjaga lautan dan daratan iaitu boleh jadi segala jin dan syaitan adalah suatu amalan khurafat dan tahyul yang dilarang oleh syarak. Lebih-lebih lagi amalan khurafat ini memperalatkan ayat suci iaitu Bismillahirrahmanirrahim dibaca sekian-sekian kali.

8. Muka surat 24

8.1 Perkataan “Dengan kata kuat tangan aku ini dengan kuasa Allah dan Jibril dan Muhammad s.a.w”

Pendapat Jawatankuasa:
Terdapat padanya persamaan kuasa bagi Allah, Jibril dan Muhammad yang termasuk di dalam syirik iaitu menyengutukan kuasa makluk dengan kuasa Allah.

8.2 ………………………dengan kata نون والقلم وما يسطرون

Pendapat Jawatankuasa :
Suatu percubaan bagi kaedah penulis di dalam Al-Quran menurut Mashaf Othmani
Iaitu ditulis dengan "ن" bukan نون


9. Muka surat 25 - 26

9.1 Ya Allah ya tuhanku, aku pohonkan gerak seni silat gayong yang dalam bahagian rohani jasmani dan zat Muhammadiah langkah bunga buah dengan mukjizat Rasulullah s.a.w.

Pendapat Jawatankuasa :
Suatu khurafat dan penyelewengan yang mana gerak silat dihubungkan dengan Mukjizat Nabi s.a.w.

9.2 Gerak bersepakai gerak Allah rasulullah gerak Syeikh Abd. Kadir Jailani.

Pendapat Jawatankuasa :
Perkataan ini sangat diragu-ragukan.

10. Muka surat 28

Assalamualaikum ya nadi sepuluh.
Penyusun tidak dapat memberi keterangan apakah dia nadi sepuluh.

11. Muka surat 29

بقوله تعالى ان العزة لله ولرسوله وللمؤمنين
Meminda dan mengubah ayat Quran yang betulnya ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين
Dari surah Al Munafiqun. …….. براءة من الله ayat Quran tiada sempurna.


12. Muka surat 31

12.1 Sediakan semangkuk garam di dalam bilik khalwat.

Pendapat Jawatankuasa :
Perbuatan ini adalah khurafat.

12.2 Sentiasa beriktikaf di dalamnya.

Pendapat Jawatankuasa :
Iktikaf pada syarak dilakukan di dalam masjid tiada sebarang tempat seperti bilik khalwat.



12.3 Memberi salam (1) pertamanya kepada Syeikh Mahyudin 1,000 kemudian daripada sempurna seribunya jika ia murid itu perasaan mengantuk hendaklah tidur pada majlis itu juga kerana ia Mahyuddin hendak berjumpa dengan jalan mimpi jika tidak berasa tidur jangan ditidurnya kerana ia hendak berjumpa dalam masa jaga.

Pendapat Jawatankuasa :
Amalan memberi salam yang sedemikian itu adalah suatu perkara yang diada- adakan dan perjumpaan dengan Syeikh Mahyuddin itu di dalam tidur atau jaga adalah khayal dan khurafat semata-mata.

13. Muka surat 36

13.1 Aku berjalan dengan gerak Allah Malaikat dengan gerak Muhammad bukan kata aku kata Allah. Allah Hu Ah ……………………
Perkataan-perkataan yang pada lahirnya membawa kepada syirik.

13.2 Ah Aku bukan aku aku …………………
Penyusun tidak dapat memberi penerangan dan penjelasan tentang maksud perkataan itu dan di atas penjelasan sekalipun perkataan itu pada pendapat jawatankuasa menimbul keraguan dan kesamaran.

14. Muka surat 37

Pohon gerak menyalahi adat menepati gerak mukjizat dan keramat.

Pendapat Jawatankuasa :
Permohonan ini adalah untuk mendapat yang mustahil kerana mukjizat perkara yang menyalahi adat yang dikurniakan khas kepada Rasul dan nabi-nabi dan keramat. Khasnya bagi orang-orang wali, yang menimbul kekeliruan iaitu boleh jadi berlaku satu gerak yang luar biasa yang oleh seseorang itu dianggapnya sebagai gerak mukjizat atau sama taraf dengan gerak mukjizat.


15. Muka surat 38

Hilanglah aku didalam lautan قلب قدره ارادة الله ددالم فد حروف الف الله الله
Kata penyusun قلب yang sebenarnya كلب iaitu anjing (khitmir) ashabul kahfi yang ertinya qudran Iradah Allah ibarat seperti anjing Ashabul Kahfi yang ertinya qudran Iradah Allah ibarat seperti anjing Ashabul Kahfdi dan kawalan Qudrah Iradah diibarat seperti kawalan anjing itu.


16. Muka surat 39 صورة المادة التجليات الحق
16.1 Susun bahasa tiada jelas dan kerana itu tiada jelas maksudnya.

16.2 يا من هو لا هو الا هو
Ibarat yang menepikan wujudnya Allah ………………………

16.3 ب س م ا ل ل ه الحمد لله Ibarat-ibarat tiada menurut Bahasa Arab dari segi nahu dan penulisan.


17. Muka surat 40

17.1 3 كالي كل ذات الله Tidak tahu bagaimana hendak dibaca dan apa maksudnya penyusun tidak dapat memberi penjelasan.

17.2 روح أطلق حق أطلق كات هيغض للف تيدور

Pendapat Jawatankuasa :
Perkataan itu tidak termasuk di dalam lafaz-lafaz zikir yang warid.

18. Muka surat 41

18.1 Peraturan tidur ……………………………
Menurut penyusun peraturan tidur itu menurut sunah.

Pendapat Jawatankuasa :
Peraturan itu berlainan dari apa yang sabit dari Rasulullah s.a.w.

18.2 صم بكم عمي فهم لا لا لا . أفحسبتم انما خلقناكم عبثا وانكم الينا لا لا لا وجعلنا من بينهم أيديهم سواء ومن خلفهم سدا فاغشيناهم فهم لا لا لا يا معشر الجن والانس...... فانفذو لا لا لا
Pendapat Jawatankuasa :
Semua ayat-ayat suci itu diubah pinda.

19. Muka surat 42 – 43

Aku pohonkan gerak hulubalang Allah hulubalang Rasul Allah dengan titah sabda Rasulullah Mikail Israfil Abu Bakar, Omar, Othman, Ali ……………………
Penyusun tidak dapat menerangkan apa maksud dengan titah sabda Rasulullah Jibrail
…………………… itu.


20. Muka surat 52

Sebagaimana sabda nabi s.a.w. bergerak alamat hidup diam alamat mati, nas tiada disebut demikian juga rawinya, hadis itu diragu-ragukan.

Berdasarkan kepada butir-butir di atas ini yang mana ianya adalah mengelirukan Akidah Islam dan bercanggah dengan ajaran-ajaran di dalam syariat Islam yang suci dan untuk memelihara kaum muslimin di negeri ini dari dirosakkan akidah mereka dan amalan-amalan mereka oleh ajaran-ajaran dan amalan-amalan yang ada di dalam risalah Gerak Kilat. Maka Jawatankuasa bersidang pada hari ini mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah supaya diharamkan risalah itu dari disebar dan ditegah dari diajar dan belajar dan beramal dengan ajaran-ajaran di dalamnya.
الحلول والإتحاد
Related Posts with Thumbnails