MESYUARAT NAQIB BIL 3/2009

Pada 21-23 Disember 2009 berlangsung mesyuarat Naqib Negeri Sarawak kali ke-3. Laporan dari setiap Bahagian telah dibentangkan dalam mesyuarat kali ini. Berbagai-bagai isu dan cadangan turut diutarakan dalam mesyuarat.




KHUTBATUL WADA'

KHUTBATUL WADA', SEKADAR RENUNGAN MEMASUKI TAHUN HIJRAH 1431 H
OLEH : USTAZ ZAHAZAN


DIPETIK DARI : www.zahazan.net


Setelah matahari tergelincir, Rasulullah Saw. meminta agar Al-Qashwa', unta beliau, didatangkan. Beliau kemudian menungganginya hingga tiba di tengah Padang Arafah. Di sana telah berkumpul sekitar 124.000 atau 144.000 kaum Muslim. Beliau kemudian berdiri di hadapan mereka me­nyampaikan khutbah haji terakhir beliau yang lebih dikenal dengan haji wada':

Wahai manusia! Dengarkanlah nasihatku baik-baik, karena barangkali aku tidak dapat lagi bertemu dengan kamu semua di tempat ini. Tahukah kamu semua, hari apakah ini? (Beliau menjawab sendiri) Inilah Hari Nahr, hari kurban yang suci.


Tahukah kamu bulan apakah ini? Inilah bulan suci. Tahukah kalian tempat apakah ini? Inilah kota yang suci. Kerana itu, aku mermaklumkan kepada kalian semua bahawa darah dan nyawa kalian, harta benda kalian dan kehormatan yang satu terhadap yang lainnya haram atas kalian sampai kalian bertemu dengan Tuhanmu kelak.

Semua harus kalian sucikan sebagaimana sucinya hari ini, sebagaimana sucinya bulan ini, dan sebagaimana sucinya kota ini. Hendaklah ucapan ini disampaikan kepada orang-orang yang tidak hadir di tempat ini oleh kamu sekalian!

Bukankah aku telah menyampaikan? Ya Allah, saksikanlah!

Hari ini hendaklah dihapuskan segala macam bentuk riba. Barang siapa yang memegang amanah di tangannya, maka hendaklah dia tunaikan kepada yang empunya. Dan, sesungguhnya riba jahiliah adalah batil. Dan awal riba yang pertama sekali ku benteraras adalah riba yang dilakukan pamanku sendiri, Al-'Abbas bin'Abdul-Muththalib.

Hari ini haruslah dihapuskan semua bentuk pembalasan dendam pembunuhan jahiliah, dan penuntutan darah cara jahiliah. Yang pertama kali kuhapuskan adalah tuntutan darah 'Amir bin Al-Harits.

Wahai manusia! Hari ini syaitan telah putus asa untuk dapat disembah pada bumi yang suci ini. Tetapi, ia bangga jika kamu dapat mentaatinya walau dalam perkara yang kelihatannya kecil sekalipun. Kerana itu, waspadalah kalian terhadapnya! Wahai manusia! Sesungguhnya zaman itu beredar sejak Allah menjadikan langit dan bumi.

Wahai manusia! Sesungguhnya bagi kaum wanita (isteri kalian) itu ada hak-hakyang harus kalian penuhi, dan bagi kalian juga ada hak-hak yang harus dipenuhi isteri itu. Yaitu, mereka tidak boleh sekali-kali membawa orang lain ke tempat tidur selain kalian sendiri, dan mereka tak boleh membawa orang lain yang tidak kalian sukai ke rumah kalian, kecuali setelah mendapat izin dari kalian terlebih dahulu. Karena itu, sekiranya kaum wanita itu melanggar ketentuan-ketentuan demikian, sesungguhnya Allah telah mengizinkan kalian untuk meninggalkan mereka, dan kalian boleh menghukum dengan pukulan ringan terhadap diri mereka yang berdosa itu.Tetapi,jika mereka berhenti dan tunduk kepada kalian, menjadi kewajiban kalianlah untuk memberi nafkah dan pakaian mereka dengan sebaik-baiknya. Ingatlah, kaum wanita adalah makhluk yang lemah di samping kalian. Mereka tidak berkuasa. Kalian telah membawa mereka dengan suatu amanah dari Tuhan dan kalian telah halalkan kehormatan mereka dengan kalimat Allah. Karena itu, bertakwalah kepada Allah tentang urusan wanita dan terimalah wasiat ini untuk bergaul baik dengan mereka.

Wahai umatku! Bukankah aku telah menyampaikan? Ya Allah, saksikanlah!

Wahai manusia! Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian sesuatu, yang jika kalian memegangnya dengan erat, nescaya kalian tidak akan sesat selamanya. Yaitu: Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Wahai manusia! Dengarkanlah baik-baik apa yang kuucapkan kepada kalian, pasti kalian bahagia untuk selamanya dalam hidup kalian !

Wahai manusia! Kalian hendaklah mengerti bahwa orang-orang beriman itu bersaudara. Kerana itu, bagi tiap­-tiap peribadi di antara kalian dilarang keras mengambil harta saudaranya, kecuali dengan izin hati yang ikhlas.

Bukankah aku telah menyampaikan? Ya Allah saksikanlah!

Janganlah kalian, setelah aku meninggal nanti, kembali kepada kekafiran, yang sebagian kalian mempermainkan senjata untuk memancung leher kawannya yang lain. Sebab, bukankah telah kutinggalkan untuk kalian pedoman yang benar, yang jika kalian mengambilnya sebagai pegangan maka aman kehidupan kalian, tentu kalian tidak akan sesat, yakni Kitab Allah (AI­-Quran).

Wahai umatku! Bukankah aku telah menyampaikan? Ya Allah, saksikanlah!

Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kalian itu satu, dan sesungguhnya kalian berasal dari satu bapa. Kalian semua dari Adam dan Adam terjadi dari tanah. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian semua di sisi Tuhan adalah orang yang paling bertakwa. Tidak sedikit pun ada kelebihan bangsa Arab dari yang bukan Arab, kecuali dengan takwa.

Wahai umatku! Bukankah aku telah menyampaikan? Ya Allah, saksikanlah!

Karena itu, siapa saja yang hadir di antara kalian di tempat ini berkewajiban untuk menyampaikan wasiat ini kepada mereka yang tidak hadir!

Tak lama setelah Rasulullah Saw. menyampaikan khutbah tersebut, turunlah firman Allah, Pada hari ini telah Kusem­purnakan bagi kalian agama kalian dan telah Aku cukupkan kepada kalian nikmat-Ku dan Islam telah Aku ridhai menjadi agama bagi kalian (QS AI-Ma'idah [5]: 3).

Mendengar firman Allah tersebut, 'Umar bin Al-Khath­thab pun menitiskan air mata. Melihat hal itu, dia pun dita­nya, "'Umar! Mengapa engkau menangis? Bukankah engkau ini jarang sekali menangis?"

"Kerana aku tahu, selepas kesempurnaan hanya ada ke­kurangan," jawab Umar. Dia telah merasakan suasana perpisahan (wada') bahawa Rasulullah SAW yang sangat dicintainya akan wafat .

(Diceritakan kembali dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari 'Abdullah bin 'Umar dan sebuah kisah yang dituturkan oleh Ibnu Hisyam dalam Al-Sirah Al-Nabawiyyah dalam Teladan indah Rasullulah dalam ibadah, Ahmad Rofi 'Usmani)

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431

Alhamdulillah Allah swt masih memanjangkan usia kita ke tahun baru 1431H. Semoga kita terus di bawah payung hidayahNya dan semakin bersemangat berjuang mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya.

BOOK REVIEW - RAHSIA ISLAM DI CHINA

RAHSIA ISLAM DI CHINA - Gemilang di Sebalik Tembok Besar

Penulis : Ann Wan Seng


Saya ingin berkongsi dengan semua, sebuah buku yang agak menarik hasil tulisan Ann Wan Seng. Buku yang bertajuk Rahsia Islam di China ini adalah dari genre Sejarah dan Tamadun. Buku ni saya beli pada Febuari 2009 di kedai buku MPH kat The Spring, Kuching. Buku terbitan PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. ini berharga RM26.00(Sabah/Sarawak) dan RM 23.00 (Semenanjung Malaysia).


Buku Rahsia Islam di China (Gemilang di Sebalik Tembok Besar) merupakan hasil tulisan seorang penulis terkenal Cina Muslim, Ann Wan Seng. Di dalam prakata buku ini beliau menerangkan bahawa sejarah dan maklumat mengenai umat Islam di China, seolah-olah seperti tidak pernah wujud dalam masyarakat Cina. Penulis sendiri yang dilahirkan dan membesar dalam masyarakat Cina tidak pernah mengetahui dan didedahkan megenai kehebatan umat Islam di China, hinggalah beliau memasuki alam persekolahan. Menurut penulis, maklumat dan fakta mengenai umat Islam di China mula terdedah kepada dunia sejak negara China membuka pintunya kepada luar.


Menurut sumber rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan China, jumlah penduduk Islam yang terkini di China adalah sekitar 30 juta orang. Walaubagaimanapun, menurut sumber tidak rasmi dan boleh dipercayai, jumlah terkini umat Islam di China adalah melebihi 100 juta orang. Manakala bilangan masjid adalah melebihi 42,000 buah. Penulis berkeyakinan pihak pemerintah komunis China mempunyai agenda jangka panjang bagi mengurangkan populasi di kalangan umat Islam. Mereka menutup angka sebenar bilangan umat Islam di China.



Masjid Pertama yang dibina di Negara China

Berusia Lebih 1000 Tahun


Di dalam buku ini, penulis menyorot kembali sejarah kedatangan Islam di China, zaman kegemilangan umat Islam di China, zaman penindasan terhadap umat Islam, dan maklumat terkini umat Islam di negara yang ditadbir oleh pemerintah berfahaman komunis ini. Penulis turut membincangkan mengenai pengaruh Islam terhadap kebudayaan dan peradaban di China. Penulis juga menulis satu bab khusus di dalam buku ini mengenai tokoh-tokoh Islam di China terutamanya mengenai Laksamana Cheng Ho.


Gabungan Kesenian Islam dan Cina


Penulis membongkar sejarah kedatangan Islam di China sejak lebih 1400 tahun yang lepas. Dipercayai sejak awal abad ketujuh lagi. Perkembangan Islam di China adalah melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan sutera dan juga jalan laut yang dikenali sebagai laluan lada. Oleh sebab itu, Islam tersebar secara meluas di bahagian barat dan selatan negara China.


Islam diterima baik oleh pemerintah Dinasti Tang, Dinasti Sung, Dinasti Yuan (Monggol), dan Dinasti Ming. Ketika pemerintahan Dinasti Ming dari tahun 1368M hngga 1644M, Islam melalui zaman kegemilangan di China. Di bawah pemerintahan Dinasti inilah berlaku integrasi kaum dan asimilasi dua budaya antara orang Islam dan penduduk berketurunan Han. Ini berlaku hasil perkahwinan campur. Orang Islam juga diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam negara China. Sebagai contoh, Laksamana Cheng Ho di beri kepercayaan memimpin angkatan laut yang besar dalam ekspedisi menjalinkan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa. Umat Islam juga telah mendapat pengiktirafan dan kepercayaan pada era pemerintahan Dinasti Yuan yang dibina oleh bangsa Mongol di bawah pimpinan Kublai Khan. Dasar pemerintahan Mongol di China sangat jauh berbeza dengan dasar yang mereka laksanakan di Asia Barat. Jika di Asia Barat pemerintah Mongol bersikap bengis dan kejam terhadap umat Islam, di China pula mereka bersikap sebaliknya. Umat Islam di China dilayan dengan baik dan mereka melantik umat Islam memegang jawatan penting dalam kerajaan. Sebagai contoh, pada tahun 1244M, Ketua Perbendaharaan Dinasti Yuan adalah seorang Muslim yang bernama Abdul Rahman. Seorang Muslim dari Bukhara yang bernama Syed Ajall pula dilantik sebagai gabenor di Yunnan. Ketika pemerintahan Dinasti ini, daripada 12 gabenor di negara China, 8 daripadanya adalah orang Islam.


Umat Islam melalui zaman kegelapan di China selepas kejatuhan Dinasti Ming. Dinasti Qing yang diperintah oleh orang Manchu menjalankan dasar-dasar yang keras dan zalim terhadap umat Islam. Mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Umat Islam dilaga-lagakan dengan penduduk berketurunan Han. Dasar yang dilaksanakan oleh Dinasti Qing ini menyebabkan berlakunya pemberontakan di kalangan umat Islam yang mengorbankan seramai 10 juta orang sejak tahun 1862M hingga tahun 1878M. Pemberontakan dan jihad umat Islam ketika itu banyak dipimpin oleh guru dan pengikut Tareqat Naqshabandi seperti Iblaxin Ma Ming Xa dan Ma Hua Lung.


Seterusnya, ketika pemerintahan Koumintang, umat Islam turut tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Hak mereka seolah-olah dinafikan. Setelah kejatuhan Koumintang, negara China diperintah oleh Parti Komunis China. Pemerintahan komunis China di bawah Mao Dezong melaksanakan dasar yang keras serta menekan umat Islam. Pada tahun 1966-1968, pemerintah komunis China ini melancarkan Revolusi Kebuudayaan yang bertujuan menghapuskan umat Islam dan penduduk yang bukan berketurunan Cina. Sedikit sebanyak ia turut memberi kesan negatif terhadap umat Islam. Walaubagaimanapun, penindasan dan tekanan yang hebat ini, gagal menghapuskan Islam di bumi China.



Umat Islam di China


Buku ini sangat menarik dan membuka mata kita tentang keadaan saudara seIslam kita di bumi China. Mereka telah menerima Islam jauh lebih dahulu daripada kita. Tekanan hebat dari musuh-musuh Islam masih gagal melemahkan pegangan aqidah mereka. Dapatkan buku ni di kedai buku berdekatan anda.

BENGKEL FARDHU 'AIN DI KPG SUPA, PUSA

Alhamdulillah semalam satu lagi Bengkel Fardhu 'Ain berjaya diadakan, dan kali ini kat kampung Supa, Daerah Kecil Pusa. Sambutan dari penduduk kampung sangat memberansangkan seperti kat tempat-tempat lain yang kami buat sebelum ni.


Menaiki Bot Laju Ke Kpg Supa

Perjalanan ke Kampung Supa ni mengambil masa lebih kurang sejam setengah. Sejam melalui jalan darat dari pekan Betong ke Kpg Manggut, dan setengah jam naik bot laju dari kampung Mangut ke kampung Supa.


Kampung Supa....pemandangan dari sungai


Kampung Supa

Pada slot pertama Ustaz Haji Hasanuddin membentangkan kertas kerja "Aqiqah Dan Qurban". Pembentangan selama dua jam setengah itu mendapat respon yang baik dari para peserta. Banyak soalan-soalan yang bernas diajukan. Pada slot kedua, saya sendiri membentangkan kertas kerja Aqidah dan Ibadah. Para peserta menunjukkan minat dan begitu banyak soalan diajukan pada sesi praktikal solat. Alhamdulillah, Ustaz Hasan ni kira mantap jugaklah dalam bab Fiqh ni. Banyak soalan dapat diselesaikan.


Antara Peserta Bengkel


Bengkel ni berakhir lebih kurang jam 2.30 petang. Dalam perjalanan balik kami kena hujan kat tengah sungai. Lepas tu, kereta Imam Besar Betong, Ustaz Sidek kena kemalangan kecil sikit. Cengkik sikit kat bumper belakang terlanggar cover tiang lampu kampung Manggut. Ujian Allah Taala. Sabar yer..


Tempat Kejadian



Ustaz Sidek menunjukkan bahagian bumper yang cengkik


Mudah-mudahan, pada masa akan datang banyak lagi program sebegini dapat dianjurkan kat kampung ni. Orang sini baik-baik dan ikram dhuyuf.


Renungan dalam seorang da'ie



MAJLIS PERPISAHAN

Selamat bertugas di tempat baru untuk rakan seperjuangan dan se'ofis' Ustazah Hasroliza dan Ustazah Rohanawati. Ustazah Hasroliza telah mula bertugas di JAIS Mukah dan Ustazah Rohanawati di JAIS Sarikei pada 7 Disember 2009.

Pada Khamis lepas, 3 Disember, majlis perpisahan telah diadakan bagi meraikan mereka berdua ni.


Ustazah Hasroliza...sedih



Ustazah Rohanawati



Kata Motivasi Dari Ustaz Sidek

HUKUM MENGAMALKAN QIRAAT & HUKUM MENGINGKARINYA

DIPETIK DARI http://balliqul-ilm.blogspot.com


Umum sedia maklum hukum mempelajari dan mempraktikkan al-Quran, namun masih ramai yang keliru atau masih terkial-kial mencari jawapan hukum mempelajari dan mempraktikkan bacaan secara berQiraat bagi al-Quran.

Plot permasalahan ini dapat kita pecahkan kepada beberapa cabang. Antaranya ialah :

a) Hukum mempelajari ilmu al-Qiraat.

b) Hukum beramal dengan bacaan Qiraat
  • Qiraat Mutawatirah
  • Qiraat Syadz
  • Membaca di dalam dan di luar sembahyang.
c)Hukum mengingkari bacaan al-Qiraat.


a) Hukum mempelajari ilmu al-Qiraat.

Hukum mempelajari ilmu Qiraat adalah fardu kifayah. Jadi setiap individu Muslim mesti mempunyai kesedaran berkait hal ini, setiap individu perlu berusaha mempelajari ilmu ini sekadar mampu. Jika tidak, mereka perlu berusaha untuk membolehkan ada kelompok di kalangan mereka mengusai ilmu ini dengan memberi segala bentuk pertolongan dan dorongan kepada golongan ini kerana jika tidak ada kelompok yang menguasai ilmu ini maka seluruh masyarakat itu berada di dalam dosa kerana terkubur sebahagian besar dasar Islam yang terkandung di dalam al-Quran bakal lesap kerana al-Quran diturunkan dalam Qiraat yang pelbagai dan membawa kepada pecahan hukum yang pelbagai.


b) Hukum beramal dengan bacaan Qiraat.

Qiraat Mutawatirah

Hukum beramal dengan bacaan Qiraat Mutawatirah adalah SAMA seperti yang kita fahami tentang HUKUM BERAMAL DENGAN BACAAN AL-QURAN iaitu membacanya diberikan pahala khusus seperti yang tersebut di dalam hadis-hadis Rasul SAW.

Qiraat Mutawatirah ini boleh dibaca di dalam atau di luar sembahyang. Tetapi bagi mengelakkan kekeliruan di dalam masyarakat yang kurang arif tentang wajah Qiraat yang akan dibaca seelok-eloknya diterangkan terlebih dahulu bahawa bacaan al-Quran secara Qiraat yang berlainan akan diperdengarkan.

Wajah Qiraat yang pelbagai boleh dibaca walaupun di dalam satu sembahyang, sebagai contoh bacaan al-Fatihah dibaca dengan Riwayat Hafs dan bacaan surah selepasnya boleh dibaca dengan bacaan Riwayat Syu’bah. Tetapi harus diingat bahawa mesti terdapat “Fasilah” atau pembeza yang jelas selang bacaan antara kedua-dua riwayat qiraat yang berbeza agar tidak berlaku “tarkib al-Qiraat’ atau “talfiq al-Qiraat” yakni percampuran Qiraat (kaedah bacaan), bagi sesiapa yang pernah bertarawikh di Masjid al-Azhar sekitar tahun 2004 M mereka dapat menikmati kepelbagaian bacaan Qiraat jika ketika itu solat tersebut diimamkan oleh al-Syeikh Abdul Hakim Bin Abdul Shomad (salah seorang Masyayikh Qura’ di Mesir).


(Syeikh Abdul Hakim di Halaqah Masjid al-Azhar)




Qiraat Syadz

Hukum beramal dengan bacaan Qiraat Syadz adalah BERBEZA dengan apa yang kita fahami tentang HUKUM BERAMAL DENGAN BACAAN AL-QURAN. Bagi Qiraat Syadz ini kita digalakkan untuk mempelajari dan mendalaminya kerana melalui Qiraat Syadz ini kadang-kadang kita dapat mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan lebih tepat kerana kebanyakan Qiraat Syadz adalah penambahan atau perincian bagi ayat-ayat Quran seperti pada ayat “Solatul wustho..” ada Qiraat Syadz “Solatul wustho Sholatul ‘Asr..”.

Bacaan-bacaan ini menjadi Syadz kerana tidak sempurna tiga Rukun Qiraat Mutawatirah. Tiga rukun tersebut ialah :-

• Sanad qiraat hendaklah sahih datang dari Rasulullah s.a.w.

• Menepati lughah (bahasa) arab yang fasih.

• Menepati Rasm Mushaf Othman atau salah satu darinya.

Jika salah satu rukun dari rukun-rukun tersebut tidak terdapat dalam satu-satu

bacaan, maka bacaan akan ditolak atau di gelar Qiraat Syadz. Perkara ini hampir sama atau boleh difahami dengan memahami kaedah pen”Shohih”an atau pen”Dhoif”an hadis-hadis yang dikatakan datang dari Rasul SAW.

Qiraat Syadz ini terbahagi kepada pelbagai kategori ada yang boleh diterima dan ada yang ditolak secara terus seperti juga dalam pembahagian hadis-hadis yang dikatakan datang dari Rasul SAW.

Qiraat Syadz ini tidak boleh dibaca di dalam sembahyang kerana ia bukanlah bacaan al-Quran yang tepat atau sebenar, jika dibaca di dalam sembahyang maka sembahyang itu akan batal kerana menyebut perkataan selain al-Quran di dalam sembahyang.


c) Hukum mengingkari bacaan secara Qiraat.

Perbahasan berkaitan perkara ini agak panjang lebar diperbahaskan oleh para ulama kerana terdapat perbezaan di kalangan ulama mentafsirkan perbezaan dan persamaan antara QIRAAT dan AL-QURAN.

Secara ringkasnya boleh difahami seperti berikut :

  • Ulama yang berpendapat Qiraat dan al-Quran adalah sama yakni seluruh bacaan Qiraat adalah al-Quran. Maka mereka menkategorikan kelompok yang mengingkari Qiraat Mutawatir secara sengaja samada salah satu wajah atau sebahagian atau satu huruf sekalipun adalah KAFIR kerana mengingkari al-Quran.

  • Ulama yang berpendapat Qiraat dan al-Quran adalah perkara yang sama tetapi tahap penyampaian dan pemakluman bagi umat Islam adalah berbeza . Para ulama telah membincangkan adakah Bacaan Qiraat ini sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah”, jika perkara ini dianggap sebagai sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah” maka mengingkari Qiraat adalah sama hukumnya seperti mengingkari al-Quran. Tetapi kebanyakan ulama berpendapat bahawa al-Qiraat adalah belum sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah” Jadi jika ada yang mengingkarinya tidak sampai pada tahap KAFIR.

Namun begitu, para ulama berpendapat bahawa sesiapa yang mengingkari bacaan Qiraat Mutawatirah yang telah disepakati keshohihannya adalah tergolong dalam golongan yang mengingkari al-Quran.

Para ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar dengan pelbagai hujah dan pandangan, kesimpulanya seseorang itu akan dianggap mengingkari Al-Quran dan menjadi KAFIR apabila ia mengingkari al-Qiraat seperti berikut :

  1. Qiraat yang sabit kesohihannya dan sampai pada tahap “al-Maklum min al-Deen bi al-Dhorurah”.
  2. Perkara yang diingkari itu bukanlah perkara yang syubhat atau wujud keraguan atau perselisihan padanya.
  3. Orang yang mengingkari Qiraat itu adalah orang tahu bahawa Qiraat itu Shohih Tsubut dan mengingkarinya secara sedar dan sengaja.
-----------------------

Wallahua'lam.


Rujukan :

Abdelhalim Gaba (1999). Qiraat Quraniah tarikhuha Tsubutuha Hujjatuha wa Ahkamuha, Dar al-Ghab al-Islami, Beirut.

Mausuah al-Quraniah al-Mukhasasah (2002). Wizarah al-Auqaf al-Majlis al-‘Akla li Syuun al-Islamiah, Kaherah.


Disediakan oleh : Mohamad Zaki Bin Abdul Hamid

Insaniah, Kedah


PENGORBANAN

Saya ingin berkongsi artikeL Dr Asri ni dengan semua...Artikel ni saya petik dari mstar online (1/12/09). Kita ambiklah istifadah apa yang baik bagi diri kita tanpa mengira apa aliran kita......sebagai Daie ila Allah....



......Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan.

Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?!

Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.

Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya. Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya.

Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:

"Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar.

Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian". (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).

Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.

Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.

Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang.

Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga "Adn". itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).

Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.

Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah: (maksudnya)

"Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu". (Surah al-An’am, ayat 33-34).

Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.

Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.

Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.

Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya.

Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.

Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.

Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.

BENGKEL FARDHU 'AIN DI KPG KUPANG, SARATOK

Bengkel Fardhu 'Ain di Kampung Kupang, Saratok telah berjalan lancar pada 7 Zulhijjah 1430H /24 November 2009, hari Selasa. Sambutan dari penduduk kampung amat menggalakkan. Macam-macam soalan diajukan pada penceramah, khususnya berkaitan bab Solat. Bagi memudahkan pemahaman peserta, penerangan mengenai Solat dibuat secara bengkel, seperti yang kami buat kat Kpg Perpat, Kabong.


Kampung Kupang ni lebih kurang 2 jam dari Pekan Betong kalau guna jalan darat. Dari jalan utama menuju ke Kampung Kupang ni kena melalui jalan yang belum berturap....lebih kurang sejam. Susah jugak nak masuk dalam....Alhamdulillah Bang Man cekap bawa Unser SG ni. Kat jambatan kayu sebelum sampai kampung Kupang ni, kami ada masalah sikit. Kereta tak dapat naik jambatan.....tanah tengelam sikit..Tapi Alhamdulillah ..... masalah dapat diatasi asbab kekreatifan kawan-kawan menggunakan bahan di sekeliling kat hutan ni untuk solve the problem...(mcm dlm rancangan Man vs Wild la pulak....)


Kat Jambatan ni la...




Ceramah Ibadah Solat


Penduduk Kampung Kupang ni ramah-ramah dan baik-baik belaka. Mereka sangat cinta dan dahagakan Ilmu.........

InsyaAllah, pada masa akan datang kita bercadang nak perbanyakkan program kat sini......Moga Allah Taala mudahkan.....Ya Rab...........

SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA

Selamat menyambut Aidil Adha buat semua Muslimin Muslimat di seluruh alam tak kira jin dan manusia.

Moga Sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim A.S terus menjadi insprasi kita di dalam berkorban untuk Allah SWT, khususnya bagi menegakkan Islam yang tercinta.....

Rasulullah SAW bersama Para Sahabat R.A telah membuat pengorbanan yang begitu hebat di dalam memperjuang dan menegakkan Kalimah Alah Taala.

SALAM AIDILADHA

MPV PERODUA

Hari ni Perodua melancarkan sebuah lagi kereta baru keluaran syarikat tersebut. Jenis MPV. Boleh tahan jugak. Ni kira saingan untuk MPV Proton...Exora.











BENGKEL FARDHU AIN SELURUH BETONG

Sepanjang bulan November dan Disember ni, kami kat JAIS Betong bergerak secara berterusan ke Seluruh Bahagian Betong. bagi menjayakan Bengkel Pemantapan Ilmu Fardhu 'Ain dan Ilmu Kekeluargaan Islam. Bengkel ni bertujuan bagi memantapkan lagi kefahaman Umat Islam di Bahagian Betong ni khususnya bekenaan Aqidah dan Ibadah yang Sahih.



Di Surau Silaturrahim, Kpg Hulu, Saratok



Di Kpg Perpat...Sambutan Menggalakkan



Bengkel Solat


Alhamdulillah, setakat ni sambutan dari penduduk-penduduk kampung amat memberansangkan. Program ni adalah atas inisiatif pihak kami tanpa peruntukan dari kerajaan. Kami mendapat kerjasama pihak jawatan kuasa Masjid/Surau bagi menampung keperluan makan-minum peserta.


Menyeberang dari Kpg Perpat



Senyuman Da'ie....Us Majidy Bujang Kachang

TANGKAPAN DR. MOHAMAD ASRI...

Saya berminat dengan artikel oleh Ustaz Zaharudin berkenaan isu penangkapan Dr Mohd Asri yg tengah hangat sekarang ni, artikel ni bersifat bebas dan saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan beliau........
Berkenaan Tangkapan Dr. Mohd. Asri : Suatu Pandangan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.
Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.
Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Sebagai contoh:
Tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi,
Menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,
Membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki,
Tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi.

Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.

Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.

Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :
" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :
Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :
Ertinya : "Jika perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]
Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?
Imam Ahmad menjawab
لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.

Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.
Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.
Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya.
Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,
"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?
Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.
Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.
Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,
Mursyidul Am PAS
Menteri Agama,
Menteri Besar Selangor,
Ketua Pemuda UMNO,
Dibincang di dalam Parlimen Malaysia
Ketua Pemuda PAS,
Bekas YDP YADIM,
Tajuk besar beberapa buah akhbar perdana,
Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK
"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"
"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.
Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:
"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :
أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة
" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :
لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم
Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai
Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :
نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه
Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-
وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
2 Nov 2009
Related Posts with Thumbnails