AMANAH KEPIMPINAN

Hadis Ibnu Umar r.a : Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya :

Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.

Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ahmad


K
epimpinan adalah satu amanah yang amat berat. Ia merupakan satu tanggungjawab, dan bukanlah satu keistimewaan. Di dalam hadith di atas Nabi S.A.W menegaskan kepada seluruh umatnya, betapa setiap kita memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan tanpa mengira status. Suami pemimpin bagi ahli keluarga, isteri pula memikul amanah menjaga rumahtangga. Jika seorang hamba pun turut memikul beban amanah iaitu menjaga harta tuannya, apalagi seorang pemerintah, sudah tentu beban yang dipikul semakin besar iaitu memikul amanah tangggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.







Zaman ini, sebilangan kita seolah-olah berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan ketua atau pemimpin, tidak kiralah pemimpin di peringkat persatuan, organisasi, kampung, negeri, dan negara tanpa memikirkan kemampuan diri dan beratnya amanah yang akan dipikul.

Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad Rahimahullah, di dalam kitab an-Nasaihu ad-Diniyah wal Wasaya al-Imaniyah menegaskan bahawa memikul tanggungjawab kepimpinan padanya ada bahaya, dan merupakan di antara perkara yang amat berat. Beliau turut membahagikan tugas kepimpinan kepada beberapa tahap mengikut berat dan besarnya amanah ;

1. Pemerintah
2. Qadhi / Hakim
3. Penjaga harta anak yatim atau harta waqaf

Contoh pemimpin yang paling hebat ialah Baginda Rasulullah S.A.W. Baginda merupakan pemimpin umat yang tiada bandingannya hingga ke hari ini. Bagindalah pemimpin umat Islam dalam Aqidah, Syariah, dan Akhlak, baginda juga Ketua Negara, Ketua Dakwah, Ketua Perang, dan Ketua Keluarga. Di dalam memimpin baginda telah menunjukkan kepada kita tauladan sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin, baginda tidak dilimpahi kemewahan atau apa-apa keistimewaan duniawi yang membezakan baginda dengan para Sahabat. Baginda hidup dalam keadaan zuhud. Para Sahabat sangat menyintai baginda dan akur pada setiap perintah.

Seorang penulis barat, Michael H. Hart di dalam bukunya yang bertajuk The 100 : A Ranking of The Most Influential Persons In History, Revised and Updated For The Nineties, meletakkan Baginda Rasulullah S.A.W. sebagai tokoh pemimpin pada 'ranking' yang pertama mengatasi tokoh-tokoh dunia yang lain. Ini kerana beliau kagum pada pengarauh hebat Baginda dan ketaatan pengikut Baginda yang tidak berbelah bahagi terhadap segala perintah. Bagi para intelek barat, kepimpinan ditakrifkan sebagai seni atau usaha mempengaruhi orang lain ke arah mencapai matlamat. Sebagai contoh, Harold Koontz & Heinz Weihrich mendifinisikan kepimpinan sebagai pengaruh, seni, atau proses mempengaruhi orang supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan.

Di dalam Islam kepimpinan merupakan taklif (amanah) dan bukannya suatu tasyrif (kemuliaan/keistimewaan). Begitu banyak peringatan dari Allah dan Rasulnya terhadap para pemimpin/pemerintah : di antaranya :


Firman Allah S.W.T :

1

"Sesungguhnya Allah itu memerintahkan keadilan, berbuat baik dan memberikan bantuan kepada kaum kerabat," sampai habisnya ayat.

(an-Nahl: 90)


2

"Dan berlaku-adillah engkau semua, sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berlaku adil."
(al-Hujurat: 9)


3

"Dan rendahkanlah sayapmu - yakni bersikap merendahkan dirilah - kepada orang yang mengikutimu dari golongan kaum mu'minin.”
(as-Syu'ara': 215)


4

"Sesungguhnya Allah menyuruh dengan keadilan, berbuat baik dan memberi sedekah kepada kaum kerabat serta melarang per-buatan keji, kemungkaran dan kederhakaan. Allah menasihatkan kepadamu semua, supaya engkau semua dapat memperoleh peringatan."

(an-Nahl: 90)



Hadith Nabi S.A.W. :
1

Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku demikian:

"Ya Allah, barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia membuat kesengsaraan pada mereka, maka berilah kesengsaraan kepada orang itu sendiri, sedang barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia menunjukkan kasih-sayang kepada mereka, baik ucapan ataupun perbuatannya, maka kasihilah orang itu."

(Riwayat Muslim)


2

Dari Abu Maryam al-Azdi r.a. bahawasanya ia berkata kepada Mu'awiyah r.a. :

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa yang diserahi oleh Allah akan sesuatu kekuasaan dari beberapa urusan pemerintahan kaum Muslimin, kemudian orang itu menutup diri - tidak memperhatikan perihal hajat, kepentingan atau kefakiran orang-orang yang di bawah kekuasannya, maka Allah juga akan menutup diri - yakni tidak memperhatikan - perihal hajat, kepentingan atau kefakirannya sendiri pada hari kiamat."

Sejak saat itu Mu'awiyah lalu mengangkat seseorang untuk mengurus segala macam
keperluan orang banyak."

(Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Tirmidzi)


3

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Ada tujuh macam orang yang akan diberi naungan oleh Allah dalam naungannya pada hari tiada naungan melainkan naungan Allah itu sendiri, iaitu: imam - pemimpin atau kepala - yang adil, pemuda yang tumbuh - sejak kecil - dalam beribadat kepada Allah 'Azzawajalla, seseorang yang hatinya tergantung - sangat memperhatikan - kepada masjid-masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun atas keadaan yang sedemikian, seseorang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah, lalu ia berkata: "Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah," - ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang lelaki, seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu - tidak menampak-nampakkannya, sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya."

(Muttafaq 'alaih)


4

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya:

"Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu di sisi Allah akan menempati beberapa mimbar dari cahaya. Mereka itu ialah orang-orang yang adil dalam meneterapkan hukum, juga terhadap keluarga dan perihal apapun yang mereka diberi kekuasaan untuk mengaturnya."

(Riwayat Muslim)

5

Dari 'Auf bin Malik, katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Pemimpin-pemimpin pilihan di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua mencintai mereka dan mereka pun mencintaimu semua, juga yang engkau semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untukmu semua. Adapun pemimpin-pemimpin yang jahat di antara engkau semua ialah orang-orang yang engkau semua membenci mereka dan mereka pun membenci padamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat padamu semua." 'Auf berkata : "Kita para sahabat lalu berkata: "Ya Rasulullah,apakah kita tidak boleh menentang kepada pemimpin-pemimpin yang sedemikian itu? Beliau s.a.w. bersabda: "Jangan menentang mereka, selama mereka masih tetap mendirikan solat di kalanganmu semua."

(Riwayat Muslim)



0 comments:

Related Posts with Thumbnails