KAYU KOKA : KOMEN US ZAHARUDDIN

Kayu Kokka & Masalah Aqidah

Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini.
Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.
Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.
Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.
Dari sudut hukum jual beli
Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.
Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan. Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong. (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim ; Al-Baihaqi)
Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.
Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.
Kayu atau orang yang bermasalah?
Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara'i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).
Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya.
Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)
Kempen
ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA adalah :-
· Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
· Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
· Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
· Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
· Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.
Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm
Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).
Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.
Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') :
Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.
Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik.
Moga Alah menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat


Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
15 Jun 2007

0 comments:

Related Posts with Thumbnails