RIJALUL GHAIB, KHADAM AYAT, ..............

Di dalam sesetengah ilmu persilatan dan perubatan melayu, kadang-kadang kita akan terjumpa beberapa istilah seperti Rijalul Ghaib, Khadam Ayat, dan macam-macam istilah lagi.

Apakah sebenarnya Rijalul Ghaib dan Khadam Ayat ini...? Adakah ia melibatkan persoalan Aqidah...?

Saya ingin berkongsi artikel berkenaan perkara ini yang saya ambil dari laman sahabat blogger saya, saudara Alexanderwathern di http://ikhtiarmuslim.blogspot.com. Mari kita renungkan bersama......

Rijalul Ghaib Menurut 'Warisan Perubatan Melayu'

Posted by Alexanderwathern | 10:59 AM |

Beberapa tahun lalu saya ada membaca sebuah buku bertajuk ‘Warisan Perubatan Melayu’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Baru-baru ini saya terjumpa balik buku ini lalu membacanya semula.
Buku ini sebenarnya diterjemahkan dari manuskrip asalnya yang bertulisan jawi. Penulis manuskrip itu bernama Muhammad Salleh ibni Ahmad Penambang. Tulisan jawinya sangat kemas dan cantik, menunjukkan penulisnya memang seorang pakar tulisan jawi. Ia disiapkan pada tahun 1288 Hijrah.
Menurut Muhammad Salleh, dalam usaha untuk menjadi seorang perawat atau tabib, kita hendaklah meminta tolong pada ‘RIJALULGHAIB’ empat bersahabat. Pada akhir tulisan ini nanti kita akan melihat siapakah ‘rijalulghiab’ yang dimaksudkan oleh buku Warisan Perubatan Melayu ini.
Untuk mendapatkan rijalulghaib ini kita mulakan dengan solat hajat. Pada rakaat pertama dibacakan ayat Kursi manakala pada rakaat kedua dibacakan surah al-Ikhlas tiga kali, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Kemudian kita hendaklah melihat jadual ‘langkah rijalulghaib’. Dipercayai rijalulghaib berada di tempat dan arah tertentu mengikut kalendar bulan sebagaimana kalendar Islam. Jadualnya tidaklah saya salin. Selepas mengetahui kedudukan rijalulghaib, satu bacaan mentera hendaklah diamalkan.
Menteranya berbunyi:
“XXXXXXXXX perbakeulu. XXXXXXXX sangkakeulu. Ada apa-apa si pertapa. Aku XXXX Betara Guru. Kupinta padamu, aku ambil akan saudaraku, aku ambil akan sahabatku. Barang kusuruh segera jadi, barang kucita segera datang.”
Sengaja saya sembunyikan beberapa perkataan kerana khuatir ada pembaca yang nakal yang boleh jadi akan menyalahgunakannya. : )
Mentera di atas dibaca 1000 kali bersesuaian dengan 1000 butir batu sebesar kelingking yang dikumpulkan sebelum itu. Dibaca satu sekali mentera untuk sebiji batu, tiga kali sehari selama tiga hari. Maksudnya 3000 mentera sehari, 9000 mentera dalam tiga hari.
Teringat saya pada mereka yang terperangkap dalam kegiatan ‘tarik duit’. Solat berjemaah ke surau pun tidak, berzikir banyak pun tidak. Tiba-tiba dengan senang hati pergi duduk berzikir berseorangan di tempat-tempat sunyi atas permintaan ‘naqib usrah’ mereka. Di tepi lombong, kaki bukit, pinggir hutan dan lain-lain jadi lokasi berzikir KERANA DUIT, bukan kerana Allah. Apabila ditegur, mereka menjawab, “Alaah, ustaz sekian-sekian ulama sekian-sekian pun buat jaga. Takkan salah!” Lantaklah! Tapi sampai hari ini sudah berbelas berpuluh ribu habis, yang dapatnya cuma beberapa puluh ringgit. Itu pun masih ada hati hendak buat lagi. Malangnya bangsaku.
Sambung semula. Amalan ‘3 hari’ itu hendaklah pula diulangi dengan satu lagi zikir yang berbunyi:
“Sidang FaXXX, Sidang PeXXXXX, Sidang ArXXXXX, Sidang UrXXX. Adam bapamu, Hawa ibumu.”
Jadilah kesemuanya enam hari. Dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’, ‘rijalulghaib’ silat dipanggil sebagai Mambang Kuning, Mambang Biru dan lain-lain.
Upacara seterusnya selepas tamat semua yang di atas tadi ialah ialah upacara menyeru. Pasang sebatang lilin, tabur dengan bertih lalu diseru nama keempat-empat ‘mambang’. Sekalipun mereka bersetuju untuk datang berdamping tetapi kita tidak dapat melihat mereka. Kehadiran mereka boleh diketahui dengan melihat reaksi api lilin. Jika apinya hitam, yang datang ialah Sidang FaXXX, putih untuk Sidang PeXXXXX dan Hijau untuk Sidang UrXXX. Petunjuk kehadiran Sidang ArXXXXX tidak pula disertakan.
Setelah mendapat petunjuk itu, batu-batu yang dibuat amalan itu hendaklah dibuang ke laut.
Perkara yang cuba saya bawa di sini ialah identiti ‘rijalulghaib’ yang dimaksudkan oleh ‘Warisan Perubatan Melayu’. Berdasarkan kalimah ‘Adam bapamu, Hawa ibumu’, saya menyangkakan mereka ialah manusia. Mungkin wali Allah, roh-roh suci ataupun lain-lain. Namun dengan jelas disebut oleh pengarang asal kemudiannya:
“Inilah nama-nama JIN (4 Sidang tadi) yang dicita (yang kita ingini) dan yang diamalkan akan jadi sahabat (pendamping kita) itu.”
Kesimpulannya, MENURUT TUAN KITAB ‘Warisan Perubatan Melayu’, ‘rijalulghaib’ yang dicarinya tidak lain ialah dari bangsa jin.
Wallahualam.

Abu Zulfiqar ' Alexanderwathern' 



Yang ni pulak ulasan oleh Dr Amran Kasimin dalam Utusan Malaysia :

Tidak ada bukti jin diutuskan untuk bantu manusia

SOALAN: Bapa saudara saya seorang guru agama yang juga mengubat orang secara tradisional dan mengaku bersahabat dengan jin Islam. Beliau menuntut ilmu ini dari seorang guru di utara semenanjung dengan amalan; berpuasa mutih, pati geni dan berkhalwat, lalu akhirnya dia bersahabat dengan jin tadi.
Beliau selalu menekankan apa yang dilakukan adalah untuk membantu orang lain. Di sini saya menjadi keliru, tidak mungkin apa yang dilakukan olehnya salah, kerana beliau seorang guru agama dan tahu hukum. Apa salahnya bersahabat dengan jin Islam, sama kita bersahabat dengan manusia, malah dalam keadaan tertentu saya perhatikan, manusia berkelakuan lebih jahat daripada jin-jin, merogol, membunuh dan membakar mangsa. Bapa saya tidak meminta apa-apa bayaran daripada pertolongan yang dilakukannya.
- MOHD. KHALIL SAHUDIN, Kuala Lumpur.


JAWAPAN: Memang benar manusia ada kalanya lebih jahat daripada jin-jin seperti yang saudara katakan, dan itulah di antara peristiwa yang berlaku di kalangan manusia. Mereka inilah yang dikatakan sebagai manusia yang berkelakuan seperti jin ataupun syaitan, malah mereka ini lebih bahaya daripada jin-jin, terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai kuasa, kekuatan, kekayaan dan sebagainya. Kejahatan jin-jin boleh diatasi apabila seseorang itu kuat imannya, mempunyai roh yang kuat dan dia memohon perlindungan daripada Allah.
Perlu difahami, bahawa orang yang mempunyai latar belakang agama tidak semestinya tahu hal yang berkaitan dengan jin-jin, makhluk halus dan sebagainya. Mempelajari ilmu fikah, ilmu tauhid, tafsir, tasauf, nahu, sifir dan sebagainya tidak ada kaitan dengan hakikat kehidupan makhluk-makhluk halus. Dalam Islam, mempelajari ilmu sihir itu adalah ditegah, sihir itu boleh menyebabkan syirik, iaitu menyekutukan Allah, tetapi apa yang dikatakan sebagai sihir itu tidak diajar di sekolah-sekolah, tidak menjadi sebahagian daripada kurikulum pembelajaran sama ada di sekolah menengah, universiti, di Malaysia, atau di mana-mana universiti. Dengan itu, ungkapan untuk menyatakan bahawa seorang guru agama yang tahu hukum hakam, dan mengajar agama itu memahami hal-hal yang berkaitan dengan ilmu ghaib ataupun ilmu kebatinan adalah satu anggapan yang meleset.
Penerangan tentang ilmu kebatinan atau hal-hal yang berkaitan dengan alam ghaib terdapat dalam buku-buku sampingan, bercampur aduk dengan penerangan yang karut-marut. Mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan sebahagian daripadanya adalah orang yang expert, kerana mereka adalah orang yang mengamalkannya secara praktikal, namun demikian, oleh kerana ilmu tersebut sesuatu yang tersembunyi, rahsia, ia tidak mudah dicungkil atau diberitahu kepada orang ramai, biarpun untuk mengungkapkan atau mengkajinya bukan sesuatu yang mustahil.
Berdasarkan hujah saudara, memang tidak salah bersahabat dengan jin Islam. Dalam pemikiran saudara mungkin tercanang, bahawa bersahabat dengan jin itu lebih baik daripada bersahabat dengan manusia yang menghisap dadah, menjadi bapa ayam, penjual video lucah, perogol, pembunuh yang diakhiri dengan amalan membunuh dan sebagainya. Kenapa saudara bandingkan jin tadi dengan manusia yang jahat, yang tidak beriman kepada Allah, dan kenapa saudara tidak membandingkan jin tadi yang dipercayai sebagai Islam itu dengan manusia yang baik-baik.
Di Malaysia ini terdapat lebih daripada 20 juta manusia, dan apabila terdapat sebanyak 10 atau 15 kes yang melibatkan kejahatan manusia, kenapa saudara borong seolah-olah manusia ini semuanya sudah menjadi jahat, lalu saudara merajuk tidak mahu bersahabat dengan manusia, lalu akhirnya berkiblat, mahu bersahabat dengan jin-jin.
Saudara perlu kembali kepada sejarah di mana Allah pernah murka, melaknat, dan menghalau iblis daripada syurga dalam keadaan hina hingga hari kiamat, dan akan dimasukkan ke dalam neraka kerana keengganannya sujud kepada Adam, sebagai menghormati kejadian Allah.
Apabila ini terjadi, iblis bersumpah yang dia akan menipu dan mengganggu manusia, membolehkan mereka dibawa ke dalam neraka bersama. Allah menjawab, menyatakan bahawa iblis dan syaitan juga konco-konconya tidak berupaya atau tidak mempunyai kekuatan terhadap manusia kecuali di kalangan mereka yang mengikuti jejak langkah iblis dan syaitan, yang terdiri daripada mereka yang sesat.
Dalam al-Quran dijelaskan bagaimana iblis menipu Adam dan Hawa sehingga mereka terkeluar dari syurga, menipu Qabil dan Habil menyebabkan mereka bunuh-membunuh, menyakiti Nabi Allah Ayyub, menyakiti tubuhnya, juga memusnahkan harta benda, begitu juga ketika berlaku ribut taufan Nabi Noh, peristiwa sihir di zaman Nabi Allah Musa, sehingga ke zaman Nabi s.a.w. iaitu sebelum berlaku peristiwa Hijrah, peristiwa sihir yang berlaku ke atas Nabi s.a.w. dan sebagainya.

Tunduk

Iblis menipu manusia menyebabkan manusia tunduk kepada nafsu, merogol, membunuh, rasuah, menipu, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan sebagainya, yang kesemuanya melibatkan dosa-dosa; dosa kecil atau dosa besar, untuk jangka masa pendek atau panjang.
Satu trend yang paling memberi kesan, yang tidak mudah disedari oleh manusia ialah menjadikan Islam, atau unsur-unsur Islam itu sebagai jalan untuk menipu manusia, menyebabkan manusia menganggap jin-jin yang didampingi, yang dipohon pertolongannya itu sebagai jin-jin Islam, yang dituntut, dipelajari dengan cara Islam, yang melibatkan amalan yang mempunyai ciri-ciri Islam, lalu ia didatangi oleh makhluk yang dianggap sebagai jin Islam, seperti yang terjadi ke atas bapa saudara yang saudara sebutkan.
Di antara kaedah untuk bersahabat dengan jin, yang dianggap sebagai jin Islam ialah dengan berkhalwat, di satu tempat yang dianggap bersih, dalam keadaan berwuduk, bersih tubuh dan pakaian. Puasa beberapa hari tertentu, yang dimulai pada hari-hari tertentu menurut ajaran guru.
Kemudian membaca surah Al-Ikhlas seribu kali, surah Yasin, surah Ad-Dukkhan, surah As-Sajdah dan Tabaraka, sekali setiap surah. Pada hari terakhir, pada kebiasaan setelah seminggu beramal demikian, ia hendaklah menjauhkan diri daripada manusia, beramal yang dimulakan pada tengah malam, iaitu selepas pukul 12 malam, ataupun selepas pukul 3 pagi. Pada malam terakhirnya ini ia tidak boleh tidur. Inilah malam yang penting, menentukan sama ada ilmu yang dituntut itu berjaya atau gagal.
Ia akan didatangi oleh makhluk, iaitu dalam keadaan sedar, berjubah hijau atau putih, menghulur tangan, bertanya apa yang diperlukan oleh manusia. Ia hendaklah memberitahu apa yang dihajati olehnya, iaitu untuk bersahabat dengan jin berkenaan.
Dalam masyarakat Melayu, terlalu banyak kaedah yang berbeza yang dilakukan dalam usaha bersahabat dengan jin-jin, yang ada kalanya diisytiharkan sebagai ``jin Islam'', ``rijalul ghaib'', ``roh-roh'', ``khadam ayat'' dan sebagainya. Makhluk yang diseru datang, berdampingan dengan manusia inilah yang dikatakan boleh membantu manusia untuk melakukan rawatan, menjaga rumah ketika tuannya berpergian, menjaga harta benda, melindungi diri dan sebagainya.
Perlu dijelaskan bahawa manusia tidak boleh memohon perlindungan atau pertolongan selain daripada Allah, kerana ini boleh menyebabkan syirik. Satu dosa yang tidak diampuni oleh Allah.
Adalah di luar kemampuan manusia untuk menentukan jin yang datang itu Islam atau kafir. Memang tuntutan yang dilakukan untuk bersahabat dengan makhluk ini mengandungi unsur-unsur Islam, termasuk ayat-ayat yang dibaca, berwuduk, puasa dan sebagainya, tetapi, makhluk yang datang itu bukan semestinya Islam. Sesungguhnya tipu daya iblis dan syaitan itu terlalu tinggi, di luar kemampuan manusia mengatasinya kecuali dengan ihsan Allah jua.
Dijelaskan (An-Nisa':38), bahawa barang siapa menjadikan syaitan itu teman, maka makhluk ini adalah seburuk-buruk teman. Allah melarang menyeru atau menyembah makhluk yang tidak memberi manfaat atau mudarat. Sekiranya manusia berbuat demikian, mereka termasuk dalam golongan orang yang zalim (Yunus: 106). Memang ada manusia yang memohon perlindungan jin-jin. Jin-jin itu akan menambah lagi mereka dosa dan kesalahan (Al-Jinn: 6).
Berbanding dengan jin-jin, manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Kerana kemuliaannya, Allah mengutus nabi dan rasul dari golongan manusia, bukan dari golongan jin. Jin berguru kepada Nabi s.a.w. Guru lebih berilmu, mempunyai keistimewaan berbanding dengan murid. Kerana itu manusia tidak perlu bersahabat atau berguru dengan jin untuk memperoleh pertolongan.
Adalah di luar kemampuan manusia untuk memastikan agama yang dianuti oleh jin-jin. Terlalu banyak helah dan tipu daya boleh dilakukan terutamanya oleh jin-jin dalam usaha memesongkan iktikad manusia, termasuklah menggunakan ayat-ayat al-Quran, dalam tuntutan seperti yang dijelaskan.
Dalam Islam tidak ada puasa mutih, Islam mempunyai puasa Ramadan, puasa Nabi Daud, puasa Khamis dan puasa nazar, tetapi dalam amalan kebatinan Melayu, memang ada puasa dalam beberapa hari ganjil, yang hanya boleh memakan nasi tanpa lauk, atau lauk yang terdiri daripada benda tidak bernyawa. Dalam Islam setiap yang halal boleh dimakan oleh mereka yang berbuka puasa, begitu juga dengan pati geni.
Dalam Islam tidak ada ibadah puasa dalam hari tertentu, selama seminggu, lima atau tiga hari, yang diakhiri pada malam terakhirnya dengan berjaga sepanjang malam, tidak boleh tidur sehingga fajar menyingsing.
Rasulullah s.a.w. pernah berkhalwat di Gua Hira', tetapi baginda berbuat demikian bukan mengikut ajaran guru, di mana baginda akan didatangi oleh makhluk jin, atau mana-mana makhluk tertentu, secara sengaja, seperti yang banyak terjadi di kalangan mereka yang mempelajari ilmu kebatinan, yang dipercayai sebagai roh-roh, rijalul ghaib, khadam ayat, wali Allah dan sebagainya, yang sebenarnya makhluk ini adalah daripada jin-jin, yang akhirnya dikatakan boleh membantu untuk melakukan rawatan, dalam keadaan menurun, untuk menjaga harta benda, rumah, kebun, anak isteri dan sebagainya ketika orang yang mempunyai ilmu ini berpemergian.
Tidak terdapat bukti daripada mana-mana sumber, sama ada daripada al-Quran, hadis, amalan sunah, para sahabat dan sebagainya memperlihatkan bahawa Allah mengutus jin-jin itu untuk membantu manusia, tidak kira sama ada jin Islam ataupun bukan Islam. Walaupun demikian, terdapat banyak amaran Allah agar manusia menjauhkan diri daripada iblis dan syaitan, jangan bersahabat dengan syaitan, biar dalam keadaan apa sekalipun, kerana syaitan itu adalah musuh yang nyata.
Seperti yang dijelaskan bahawa iblis pernah memohon agar dipanjangkan nyawanya sehinggalah hari kiamat, untuk menyesat dan menipu manusia, dan permintaan ini diperkenankan oleh Allah. Di antara jalan, atau tipu helah iblis dan syaitan terhadap manusia, yang tidak mudah disedari oleh manusia ialah dengan menonjolkan unsur Islam menyebabkan seseorang itu menganggap makhluk yang mendampinginya itu adalah terdiri daripada jin Islam, yang datang membantu manusia, pada hal hakikat sebenarnya hanya diketahui Allah.
Sesungguhnya syaitan itu pernah bersumpah di hadapan Allah, yang menyebut, ``Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku tidak akan berpisah daripada anak Adam, sehinggalah roh anak Adam itu berpisah daripada jasadnya''. Bermaksud bahawa makhluk ini sentiasa berusaha menyesatkan manusia, daripada awal kelahirannya, sehingga mati. Ketika itu makhluk ini akan pergi, meninggalkan manusia, sama ada mati dalam keadaan beriman ataupun dalam keadaan kufur.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia
46M, Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-92213752
E-mel: mingguan@utusan.com.my

0 comments:

Related Posts with Thumbnails