BEBERAPA FAKTA TENTANG AL-QURAN


114 Surah

6236 Ayat

77437 Kalimah

325345 Huruf

FADHILAT AL-QURAN

عن عا ئشة رضي الله عنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
الماهر بالقرأن مع السفرة الكرام البرارة
والذي يقراً القرأن وهو عليه شاق له اًجران

Hadrat Aisyah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda : seseorang yang ahli dalam Al-Quran akan berada bersama para Malaikat Pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah-payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran.

-Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah

ADAB MEMBACA AL-QURAN

1. Duduk dengan penuh hormat dalam keadaan berwudhuk menghadap ke arah Qiblat.
2. Membersih mulut sebelum membaca Al-Quran (Siwak)
3. Memakai wangi-wangian
4. Berpakaian menutup aurat dan kemas
5. Membaca dengan khusyuk dan tawadhuk
6. Membaca Al-Quran dengan suara merdu
7. Berusaha untuk memahami makna ayat
8. Usahakan hati supaya mengikut ayat yang sedang dibaca. Contohnya semasa lidah membaca ayat rahmat, hati hendaklah penuh dengan kegembiraan semata-mata dan sekiranya ayat azab yang dibaca maka hati hendaklah bergetar ketakutan
9. Jangan membaca dengan cepat, bacalah dengan tartil dan bertajwid
10. Jangan menyelangi bacaan Al-Quran dengan percakapan.
11. Berhenti membaca semasa batuk, bersin, menguap dan seumpamanya.
12. Harus memotong bacaan kerana perkara berikut :
a) Menjawab salam
b) Mengucap Alhamdulillah selepas bersin
c) Mengucap tasymit ‘yarhamukallah’ untuk menjawab bersin
d) Menjawab suara azan
13. Memulai bacan dengan taawwuz dan basmalah kecuali pada surah At-Taubah, maka tidak boleh dimulai dengan basmallah walaupun di pertengahannya.
14. Bersujud tilawah bila datang kepada ayat sajadah.
15. Apabila berlalu di ayat yang menyebut nama Rasulullah SAW seperti Muhammad, Ahmad, Nabi atau Rasul, hendaklah berselawat ke atas baginda.
16. Bertakbir dengan lafaz Allahu akbar di akhir surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas.
17. Mengakhiri bacaan dengan lafaz ‘Sadaqallahul’azim’.

KAYU KOKA : KOMEN US ZAHARUDDIN

Kayu Kokka & Masalah Aqidah

Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini.
Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya.
Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang disebut oleh Syeikh Atiyyah.
Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum syirik.
Dari sudut hukum jual beli
Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib.
Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s ( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan dalam jualan. Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan sentiasa berbohong. (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat Al-Bukhari & Muslim ; Al-Baihaqi)
Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat Islam dengan kewujudannya.
Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar.
Kayu atau orang yang bermasalah?
Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara'i (menutup ruang kemungkinan berlaku syirik).
Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya.
Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)
Kempen
ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA adalah :-
· Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. Insya-Allah suhu badan menurun.
· Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan menggosok atau disapu pada dahi.
· Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu sedikit sudah cukup).
· Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai minyak ini. Insya-Allah.
· Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan menyayangi kita.
Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm
Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradhawi ).
Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum termasuk dari ayat Al-Quran.
Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan )
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') :
Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah dia.
Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk tangkal dan boleh membawa kepada syirik.
Moga Alah menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat


Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
15 Jun 2007

KAYU KOKA


AWASI UNSUR SYIRIK JIKA GUNA KAYU KOKA

Oleh Dato' Dr Haron Din


Soalan :

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka. Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin.Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

-Abu Bakar Zakaria,Damansara, Selangor


Jawapan :
Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.
Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.
Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.
Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.
Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.
Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.
Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)
Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.
Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.
Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.
Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.
Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.
Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.
Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.
Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.
Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.
Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.
Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.
Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.
Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.
Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.
Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.
Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."
Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

PERINGATAN PENTING MENGENAI BEKAM

Berikut ialah beberapa peringatan yang perlu diambil berat bila berbekam ;

1. Jangan makan 2-3 jam sebelum berbekam

2. Jangan berbekam dalam keadaan terlalu lapar atau terlalu kenyang.

3. Digalakkan meminum air gula selepas berbekam ( Untuk mereka yang tidak menghidap kencing manis ).

4. Berehat selepas berbekam atau tidur untuk tempoh yang mencukupi.

5. Selepas berbekam kurangkan minuman berkafein dan rokok untuk tempoh 3 hari.

6. Jangan berjimak sekurang-kurangnya 2-3 hari selepas berbekam dan 12 jam sebelum berbekam.

7. Jangan mengulangi bekam di tempat/titik yang sama kecuali selepas 2 bulan.

8. Jangan melakukan kerja berat selepas berbekam.

9. Elakkan berbekam pada awal bulan Islam atau penghujungnya.

10. Elakkan berbekam pada hari rabu.

11. Tidak boleh membekam wanita yang bukan muhrim, begitu juga
sebaliknya.

12. Mandi selepas berbekam adalah sunnah.

WAKTU AFDHAL BERBEKAM

Waktu yang afdhal dan sesuai untuk berbekam ialah :

1. Bulan ke 5,6,7,8 bulan Islam
2. Tarikh 17, 19, 21 dan lima hari selepasnya mengikut bulan Islam atau 2 hari sebelumnya.
3. Waktu pagi atau petang ( 2-3 pm )
4. Pada musim panas.

JENIS-JENIS BEKAM


Bekam terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :

1. BEKAM ANGIN/KERING (جافة)
Mengeluarkan angin dari badan dengan kaedah sedutan.

2. BEKAM URUT (تدليك)
Menggosok/mengurut badan dengan menggunakan cawan bekam bersama minyak zaitun atau minyak pudina.

3. BEKAM DARAH/BASAH (رطبة)
Membuat luka/calar kecil di luar permukaan kulit dan darah kotor dikeluarkan melaluinya dengan kaedah sedutan.

HADIS MENGENAI BEKAM

HADIS NABI SAW MENGENAI BEKAM

Ada banyak hadis yang menyebut mengenai kebaikan dan fadhilat bekam, di antaranya :

Dari Ibnu Abbas ra, sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
“ Sebaik-baik ubat adalah berbekam kerana ia menghilangkan penyakit pening kepala, meringankan pinggang dan mencerahkan mata”.


Dari Nafi’ ra, sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
“ Barangsiapa berbekam maka ke atasnya keberkatan dari Allah Taala dan berbekam juga menghilangkan kahak, gelema(lendir) dan balghom(lemak).”

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ibnu Majah, sabda Nabi saw yang bermaksud,
“Berbekam memperkuatkan daya hafaz seseorang dan menambah akal orang yang berakal ”.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, sabda Nabi saw yang bermaksud,
“ Semasa aku berjalan pada malam Isra’ bersama para malaikat, mereka selalu berkata : Hai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam, barangsiapa berbekam pasti mendapat rahmat dari Allah Taala”.

TERAPI BEKAM

BEKAM

Bekam merupakan salah satu warisan perubatan Islam yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Dalam Bahasa Arab bekam disebut ‘Al-Hijamah’. Ia amat mudah dipelajari.


TAKRIF AL-HIJAMAH/BEKAM

Bekam merupakan satu kaedah pembersihan atau pelepasan angin dan darah kotor dari badan. Ia dilakukan dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan dengan menggunakan berbagai alat seperti tanduk kerbau, gading gajah, batang buluh, gelas, atau dengan menggunakan alat vakum.

FADHILAT / FAEDAH BEKAM

Dengan berbekam kita telah beramal dengan salah satu Sunnah Nabi saw. Bekam amat berkesan untuk merawat berbagai penyakit, di antaranya :

Ø Sakit sendi
Ø Gout
Ø Lenguh
Ø Kebas
Ø Kencing manis
Ø Darah tinggi
Ø Leukimia
Ø Lumpuh
Ø Maigrain
Ø Lemah badan
Ø Resdung
Ø Strok/angin ahmar
Ø Sakit angin
Ø Sesak nafas
Ø Lemah tenaga batin
Ø Dan lain-lain lagi
Related Posts with Thumbnails